-->

Oktober 24, 2017

Tujuh Dari Lapan Mangsa Kemalangan Maut Disahkan Warga Indonesia.

Oleh : Bernama
Tujuh daripada lapan pekerja wanita yang maut dalam kemalangan membabitkan dua bas kilang dan sebuah van di Km 147 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara berhampiran Plaza Tol Juru, disahkan rakyat Indonesia.
Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Iwanshah Wibisono berkata empat mayat yang sudah selesai dibedah siasat dikenali sebagai Resni Tumanggar, Yeni, Serlia dan Kris Prastiwi.
Tiga lagi mayat masih dalam proses bedah siasat dan identiti mereka belum dikenal pasti.
Terdapat empat lagi warga Indonesia yang ketika ini ditempatkan di zon kuning dan 12 orang di zon hijau,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Seberang Jaya dekat Bukit Mertajam hari ini.
Beliau berkata setelah identiti kesemua warga Indonesia itu diperoleh, pihaknya akan menghubungi keluarga mereka di Indonesia.
“Malah pihak majikan (kilang Sony) turut memaklumkan akan membantu membawa keluarga mangsa berkenaan ke Pulau Pinang bagi membantu proses pengecaman,” katanya.
Dalam kemalangan pada 5.30 pagi itu, bas yang membawa pekerja kilang Sony terdiri daripada warga Indonesia dan Nepal telah berhenti di lorong kiri kerana mengalami kerosakan enjin sebelum dilanggar bas membawa pekerja tempatan dari Parit Buntar untuk ke kilang di Bayan Lepas.
Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan insiden tanah runtuh di Tanjung Bungah, beliau berkata kedua-dua mayat warga Indonesia telah dituntut semalam dan mayat seorang daripadanya juga telah tiba di Madura, Indonesia.
“Mayat Hosrin tiba di Madura kira-kira 12 tengah malam tadi manakala jenazah Erwin pula dikebumikan di tanah perkuburan di Kuala Lumpur iaitu berhampiran kawasan keluarganya tinggal, malam tadi,” katanya.
Beliau berkata pihak Konsulat Indonesia akan mengadakan pertemuan dengan syarikat tempat dua mangsa itu bekerja bagi membincangkan urusan pampasan serta insurans mereka dalam tempoh terdekat.
“Selain itu kami juga akan membincangkan nasib pekerja warga Indonesia yang berkerja di tapak pembinaan itu kerana saya difahamkan projek itu telah dihentikan serta-merta,” katanya.