-->

November 02, 2017

'Babak Kecemasan, Rawatan' Perlu Pandangan Pakar Bukan Main Balon Je..

DRAMA OH DRAMA, INI TEGURAN SAYA KEPADA PENGARAH
Dalam satu drama melayu yang tak perlu saya sebutkan tajuknya. Kelihatan ada kekecohan dalam scene tersebut. Didapati seorang pesakit tak sedarkan diri, mata membeliak keatas, kekejangan otot (tonic clonic) dan mulutnya berbuih. Mangsa seolah-olah terkena sawan (mungkin itu pengarah nak maksudkan).
Didapati juga doktor (pelakon) dengan segera meminta sudu dan memeriksa mata mangsa. Kemudian memasukkan objek (sudu) di rongga mulut mangsa. Rawatan cemas sawan ini adalah SALAH dan menjengkilkan. Yang paling best skrip dia tu, "You Doktor Ke I Doktor?". Memang tak macam doktor pun. Tak boleh blah.

Persoalan :
Adakah betul apa yang dilakukan oleh doktor (pelakon) dalam drama tersebut dengan memeriksa mata terlebih dahulu dan cuba meletakan objek dalam mulut mangsa?
Mari kita kupas. 'Tujuan rawatan cemas atau first aid untuk kes sawan adalah untuk mengelakkan mangsa dari mendapat kecederaan semasa mengalami sawan dan juga untuk mengekalkan salur udara pernafasan. Dengan meletakkan sesuatu objek dalam mulut mangsa ketika sawan adalah ditegah sama sekali.
Keadaan dimana tergigit dan tertelan lidah sebenarnya tidak akan berlaku pada mangsa. Biasanya objek-objek seperti sudu, kayu, kain, tali pinggang, jari dan sebagainya sering digunakan akan menyebabkan kecederaan pada rongga mulut, patah gigi, tertelan dan tercekik.
Perkara-perkara lain yang juga tidak dibenar semasa mengalami sawan adalah:
1. Pegang mangsa dengan kuat untuk hentikan pergerakan ketika sawan yang boleh menyebabkan kecederaan.
2. Berikan makanan atau ubat melalui mulut sehingga mangsa betul-betul sedar.
Perkara yang perlu dilakukan untuk rawatan cemas (first aid) di rumah jika seseorang diserang sawan adalah seperti berikut:
1. Bertenang dan jangan panik.
2. Terus menemani dan berada di sisi mangsa sehingga sedar sepenuhnya.
3. Jauhkan mangsa daripada sebarang objek atau perabot keras. Dan mungkin boleh alihkan mangsa keatas tilam atau alas yang lembut dan selesa.
4. Posisikan badan mangsa dalam keadaan mengiring supaya sebarang muntah atau lelehan air liur tidak memasuki paru-paru yang menyebabkan pesakit tersedak atau tercekik. Posisi ini dipanggil ‘recovery position’ (seperti gambar dibawah).
5. Perhatikan dan catatkan turutan peristiwa, pergerakanbadan dan anggota, dan tempoh masa sawan.
6. Kemudian, dapatkan bantuan daripada orang lain ataumenelefon talian kecemasan 999. Perlu membawa segera mangsa ke hospital atau klinik-klinik yang berdekatan.
7. Pemerhati sawan mesti hadir ke hospital supaya doktor dapat mengambil keterangan dengan teliti dan jelas.'
*Petikan dari Buku Perang Melawan Mitos (MTM) tulisan saya.
Saya sarankan perlu lebih teliti dengan membuat kajian terlebih dahulu sebelum penggambaran. Kerjasama dalam penulisan skrip dan pengarahan antara penerbit drama/filem khususnya pengarah dengan anggota perubatan juga perlu. Baru filem atau drama tempatan ada kualiti.