-->

November 08, 2017

Betul Ke Pemakaian Emas Boleh Menyebabkan Kanser?

BAWANG PUTIH dan KANSER

Hampir semua media sosial kongsi video berkenaan kononnya sel kanser melarikan diri apabila disua bawang putih. Menghairankan pula apabila disua emas, sel kanser tersebut bergerak minat. Maka ramai yang takjub, lantas bawang putih adalah ubat paling hebat melawan kanser. Manakala sesiapa yang memakai emas boleh menyebabkan kanser semakin teruk.

Betul ke?

Saya teliti sebaran tersebut dalam kebanyakan media sosial, versi bahasa inggeris dan versi bahasa melayu. Biasanya versi bahasa melayu itu terjemahan dari versi asal bahasa inggeris.

Sebagai ahli perubatan, saya akan soal kembali, apa signifikan ujikaji bawang putih dan cincin emas? So what?

Adakah jika doktor akan suakan bawang putih kepada pesakit yang ada ketulan kanser,kanser tersebut bergerak? Contohnya kanser payudara, apabila disuakan bawang putih, ketulan kanser itu akan bergerak menjauhi dari rongga dada ke tengkuk, ke kerongkong seterusnya keluar ikut mulut? Kemudian pesakit sembuh dari kanser? Tidak sesekali. Rawatan kanser adalah pembedahan dan kimoterapi.

Rupa-rupanya sel yang dikatakan sebagai sel kanser itu bohong. Ia sejenis logam yang direka khas. Mempunyai kuasa magnetik yang tinggi. Lihat magik dalam paparan video berikut https://youtu.be/ZXJuJQVrgbI.[1] Kemungkinan pergerakan "sel kanser" tersebut adalah diaruh melalui besi yang digerakkan di bawah meja ujikaji.

Dari sudut perubatan, adakah bawang putih boleh mencegah kanser atau merawat kanser? Laman web rasmi cancer.gov telah menulis mengenai laporan kaitan antara bawang putih dan pencegahan kanser. Hasil laporan kajian yang mereka jalankan adalah : 
i) Kebanyakan kajian saintifik perubatan mempuyai had tertentu, seperti jumlah sampel kajian yang kecil, ketidak-tepatan dos dan frekuensi pelbagai bawang putih yang digunakan.
ii) Kajian menggunakan bawang putih yang tidak standard dalam sesatu masa menyebabkan tidak boleh membandingkan secara tepat keberkesanannya.
iii) Kesimpulan keseluruhan kajian mendapati terlalu amat sukar untuk mengaitkan bawang putih boleh mencegah kanser.[2]
iv) Tidak dinafikan bawang putih mempunyai khasiat tertentu seperti anti-oksidan. Tetapi anti-oksida bukannya anti kanser. Jauh sekali ianya bahan untuk merawat kanser.

Video tersebut juga memaparkan "sel kanser" mesra dengan emas. Nasihat saya kepada wanita yang memakai emas, pakailah semahunya. 
Tidak sesekali emas yang dipakai itu boleh menyebabkan kanser atau sel kanser yang sedia ada itu merebak. Tidak boleh dikaitkan sesekali kanser dengan pemakaian emas di badan manusia. Malah tidak pernah dibuktikan pun.
Pautan;
[1] Watch Discovery channel: Street magic. https://youtu.be/ZXJuJQVrgbI 
[2] Laporan cancer.gov bawang putih dan kanser. http://ift.tt/2zrhNaN
P/S : Jika tak mahu pakai dah emas, PM tepi kepada saya...boleh derma kepada mangsa banjir Penang dan Kedah leni.