-->

November 06, 2017

Ketua Pemuda UMNO Maut Ditikam Adik Sendiri.

Ketua Pemuda Umno Cawangan Kampung Nyatuh maut selepas ditikam adik sendiri dalam pertengkaran di rumah ibu mereka di Taman Bukit Sejati di sini, pagi tadi lapor Sinar Harian

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa Norhaidi Mat Yusop, 40, disahkan meninggal dunia jam 9.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS). 

Kesan Darah Di Hadapan Rumah Ibu Mangsa
Salah seorang jiran, G.Yuvarajah, 21, berkata, dia terjaga dari tidur sejurus terdengar jeritan ibu mangsa yang meminta tolong. 

“Saya terus bergegas keluar dan sempat nampak suspek mengejar mangsa sambil memegang penyodok besi. Pada waktu itu jiran ramai yang dah keluar dan terus menangkap suspek. 

“Pada waktu itu saya nampak mangsa yang berlumuran darah di bahagian belakang badan terbaring dan tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Menurutnya, salah seorang penduduk di situ telah menghantar mangsa ke hospital dan suspek pula telah pun ditangkap polis. 

Bagaimanapun dia yang baharu berpindah di situ sejak lima bulan lalu tidak mengetahui punca kejadian. “Mangsa juga tinggal di taman ini dan dia biasa menghantar anak ke rumah ibunya,”katanya.