Ogos 11, 2018

Benarkah Barangan Kod Bermula E Adalah Produk Berasaskan Babi? Ini Adalah Jawapan Untuk Semua.

Oleh : Dr. Suhazeli Abdullah

ISU KOD E YANG MERUJUK KEPADA BABI DALAM BAHAN MAKANAN.

Sekali lagi nama Dr Hajah Safurah Jaafar digunakan oleh penyebar mesej viral.[1] Menurut mesej tersebut, kod panduan lemak babi disenaraikan sebagai amaran kepada semua rakyat Malaysia. Kononnya ia telah disahkan secara rasmi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Inilah beberapa teknik yang digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam membuat sebaran. Mungkin motifnya adalah untuk menjatuhkan perniagaan orang lain dengan kaedah itu. Dr Hjh Safurah Jaafar tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi sedemikian. Adalah diharap kita hentikan penyebaran info yang salah itu.

Jabatan kemajuan Islam Malaysia pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan kod E, yang kononnya bersumberkan dari babi.[2] Tidak semua kod nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan itu berasaskan dari sumber yang haram.


Bahan-bahan tambahan ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob semulajadi, kimia dan haiwan.


Masyarakat seharusnya peka mengenai jenis makanan tambahan (aditif) dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan. Manakala pihak pengusaha industri makanan dan barang gunaan pula bertanggungjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak akan menimbulkan keraguan kepada para pengguna. Sebagai sebuah negara Islam, isu ini sepatutnya sudah selesai dengan wujudnya badan berautoriti bagi memastikan status halal sesuatu produk kesihatan atau makanan.

Jika kita perhatikan majoriti produk dipasaran kita sudah mendapat pengiktirafan sijil halal dari Bahagian Hab Halal JAKIM. Mereka akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengishtiharkan kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan beserta dokumen sokongan yang kukuh (seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal).

Dalam masa yang sama, kita sebagai pengguna perlu mencari sesuatu yang lebih diyakini. Jika ianya meragukan, mengambil pilihan lain adalah lebih baik. Kita hidup dalam sumber makanan yang mewah dan berlebihan, amat berbeza dengan negara-negara dunia ketiga yang kebuluran. Di saat itu, bagi memenuhi kehendak biologi manusia, mendapatkan makanan tanpa melihat logo halal atau tidak bukan suatu yang diutamakan. Terlebih aula adalah makan bagi hidup.


 
Nombor kod E itu bukan merujuk kepada kod babi. Akan tetapi ianya adalah satu kod yang dikeluarkan oleh kesatuan Eropah bagi memudahkan pengurusan. Kod nombor itu bermula dengan E100 hingga E1999. Di mana;

i) Kod E100 - E199 untuk warna produk;


ii) kod E200-E299 untuk bahan pengawet;


iii) kod E300-E399 untuk sebatian fosfat, antioksida dan pengawal asid; 


iv) Kod E400-E499 untuk pemekat, pelembab, penstabil dan pelarut; 


v) kod E500-E599 untuk garam, pengawal Asid, agen penghalang Kerak;


vi) kod E600-E699 untuk Penambah perisa;


vii) kod E900-E999 untuk pemanis;


viii) kod E1000-E1999 untuk bahan Kimia tambahan.


Kod yang paling kerap disebut adalah E471. Ia adalah sejenis pelarut (emulsifier) iaitu mono dan digliserida. Sumbernya adalah dari lemak sintetik yang terhasil dari gliserol dan asid lemak semulajadi terutamanya dalam tumbuhan. Contohnya minyak kelapa sawit atau lemak haiwan. Oleh yang demikian para pengguna hendaklah membaca bahan yang terdapat disetiap produk. Samada ianya dari sumber haiwan atau tumbuhan.

Terdapat kod lain lagi yang perlu perhatian khas.


1) E120: Cochineal/Carmine (warna merah dari serangga).[3] Mufti Wilayah Persekutuan dalam ruangan Al Kafi menjelaskan bahawa hasil dari Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012: bersetuju memutuskan bahawa penggunaan bahan pewarna cochineal dalam makanan, minuman dan bahan gunaan adalah diharuskan dan kadar penggunaan yang dibenarkan adalah mengikut ketetapan pihak Kemeterian Kesihatan Malaysia selagi mana tidak mendatangkan kemudaratan.[4]

2) E441: Gelatin, ianya haram jika sumber dari khinzir.[5]

3) E542: Hablur tulang. Haram jika sumber dari khinzir atau dari haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.[6]

Pautan : 


[1] Dr Hjh Safurah Jaafar adalah mantan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan keluarga KKM.
[2] Kenyataan jakim. http://www.islam.gov.my/…/278-kenyataan-media-kp-jakim-berk…
[3] E120. http://www.food-info.net/uk/e/e120.htm
[4] AL-KAFI LI AL-FATAWI #505: http://muftiwp.gov.my/…/2085-al-kafi-505-pewarna-merah-ginc…
[5] E-code check. https://ecode.halal-haram.com/check/E441.html
[6] E542. http://www.food-info.net/uk/e/e542.htm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan