-->

Oktober 26, 2017

700 Keluarga Bimbang Risiko Berlakunya Tanah Runtuh..

Kira-kira 700 buah keluarga dari dua buah taman perumahan di Paya Terubong di sini hidup dalam kebimbangan berhubung risiko tragedi tanah runtuh daripada projek perumahan di lereng bukit yang dirancang berhampiran mereka. 

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Seri Rambai dan Taman Lau Geok Swee, Dr. Ti Lian Goh berkata, kerja-kerja pemotongan lereng bukit bagi projek pembinaan itu hanya mempunyai jarak kira-kira 200 meter daripada rumah penduduk. 

Gambar - Utusan
Katanya, pada ketika ini juga, penduduk sudah berdepan masalah banjir lumpur setiap kali hujan lebat ekoran kerja pemotongan bukit itu selain tragedi tanah runtuh yang menghempap tokong kecil Julai lalu. 

Beliau berkata, penduduk sebelum ini dimaklumkan kerja-kerja pemotongan bukit itu adalah bagi projek perumahan setinggi enam tingkat. 

Bagaimanapun, katanya, pada Disember 2015, penduduk menerima notis memaklumkan kepadatan projek itu ditambak kepada empat blok bangunan masing-masing tiga blok 47 tingkat dan satu blok 41 tingkat. 

“Kami sangat terkejut ba­gai­mana projek berkepadatan tinggi sebegitu boleh diluluskan di tepi lereng bukit yang jaraknya terlalu hampir dengan rumah penduduk. 

“Apakah kerajaan negeri tidak memikirkan soal keselamatan kami dengan sewenang-wenang­nya memberi kebenaran kepada pemaju?” katanya. 

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau keadaan lereng bukit itu di Taman Seri Rambai dan Taman Lau Geok Swee di Paya Terubong di sini. Yang turut hadir, Naib Pengerusi Gerakan negeri, Oh Tong Keong dan Timbalan Setiausaha MCA Bahagian Bukit Gelugor, Choong Jun Jie. 

Dalam pada itu, Tong Keong menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang mendengar keluhan penduduk di situ apatah lagi selepas berlakunya tragedi tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan 11 nyawa baru-baru ini.

Sumber : Utusan Online