-->

Oktober 25, 2017

Nahas Dua Bas Kilang - Ibu Merayu Minta Tolong Sebelum Disahkan Maut..

“Syikin, tolong mak... tolong mak.” Itu jeritan terakhir yang didengar oleh Norasyikin Zuryanidufizan, 22, ketika dihubungi oleh ibunya Noriah Kasa, 40, mangsa yang terkorban akibat tersepit dalam kemalangan dua bas kilang di Kilometer 147 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Tol Juru kelmarin.

 Ucapan itu masih terngiang-ngiang di telinga Norasyikin selepas ibunya disahkan maut dalam kejadian tersebut.

Menurut Norasyikin, dia ketika itu sedang menaiki van yang dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum ibunya menghubunginya.

“Ibu pergi kerja terlebih dahulu menaiki bas manakala saya menaiki van dan berada jauh dari basnya.

“Arwah menelefon saya dan meminta tolong beberapa kali sebelum panggilannya terputus,” katanya.

Tambahnya lagi, sebaik mendengar kata-kata ibunya itu, dia berasa tidak tenteram berada di dalam van yang terperangkap dalam kesesakan trafik.

“Saya kemudian menghubungi rakan saya (Mohd Sabri Azhar) memintanya menjemput saya di tepi lebuh raya.

“Ketika itu saya cuba menghubunginya namun tidak berjawab,” katanya.

Norasyikin kemudian dijemput oleh Mohd Sabri dan membawanya ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum menerima perkhabaran bahawa ibunya meninggal dunia di lokasi kejadian.


Dalam kemalangan yang berlaku pada jam 5.30 pagi itu, seramai 8 orang wanita maut terdiri daripada 7 orang warga Indonesia dan seorang warga tempatan (Noriah Kasa).




Sumber : myMetro