-->

Oktober 25, 2017

Apa Itu Antibiotik & Kesannya Kepada Manusia.

ANTIBIOTIC RESISTANCE
Kerintangan / Ketidakberkesanan Antibiotik
Pengenalan
Manusia telah menggunakan antibiotik bagi tujuan perubatan dan kesihatan seawal tahun 350 - 550M. Hal ini dibuktikan setelah penemuan antibiotik kumpulan Tetracycline yang dijumpai terdapat pada tulang manusia pada zaman Mesir purba. 
Walaupun begitu, kejayaan manusia menemukan penawar penyakit akibat jangkitan bakteria tidak hanya membawa kebaikan kepada kita tetapi dalam masa yang sama membawa satu malapetaka besar yang merunsingkan sehingga hari ini. 
Baru-baru ini, dunia perubatan dikejutkan dengan mimpi ngeri yang menjadi kenyataan setelah timbulnya beberapa penyakit berbahaya yang disebabkan oleh antibiotic resistance. 
Beberapa contoh penyakit tersebut adalah seperti berikut, 
1. Methicillin-resistant Staphylococcus aureus (MRSA)
2. Vamcomycin-resistant Enterococcus (VRE)
3. Multi-drug-resistant Mycobacterium tuberculosis (MDR-TB)
4. Carbapenem-resistant Enterobacteriaceae (CRE)
Semakin hari semakin ramai pesakit baharu telah dikesan mendapat jangkitan seterusnya membebankan kita memandangkan penyakit ini tidak lagi boleh dirawat menggunakan antibiotik biasa kerana keupayaan bakteria penyebab jangkitan yang telah bermutasi menjadi lebih kuat menentang antibiotik.
Berikutan itu, pelbagai masalah telah timbul seperti ;
A) Kos rawatan pesakit kian meningkat.
B) Tempoh masa rawatan di wad hospital juga semakin lama.
C) Berpotensi menyebarkan jangkitan pada ahli keluarga,anggota kesihatan bertugas seterusnya kepada komuniti menyebabkan bilangan kes semakin bertambah dan sukar dibendung.  
Perlu kita ketahui bahawa bakteria merupakan mikro-organisma yang hebat dengan kemampuan survival yang cukup mempesonakan. Walaupun dengan saiznya yang teramat kecil, itu bukanlah faktor yang menghalang bakteria bagi sentiasa mencari jalan untuk kemandirian spesis mereka. 
Terdapat kata-kata terkenal dari barat mengatakan size doesn't matter, terbukti benarlah seperti yang diperkatakan itu memandangkan bakteria telah wujud sejak 3.5 bilion tahun yang lampau. 
Maka, tidak hairanlah sekiranya dunia perubatan moden menemui jalan buntu dalam usaha untuk menangani serangan mahkluk mikroskopik ini yang kian mencabar seiring kemajuan teknologi manusia.
Definisi Antibiotik
Menurut CDC, antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk melawan jangkitan bakteria dengan cara membunuh atau merencat perkembangan dan menghalang pembiakan bakteria. 
Sejarah antibiotik moden bermula pada tahun 1928, Sir Alexander Fleming telah secara tidak sengaja menemui Penicillin yang terhasil daripada sejenis fungi atau kulat Penicillin Rubens. Berikutan penemuan beliau, antibiotik telah diperkenalkan kepada umum pada tahun 1945 dan digunakan secara meluas pada era perang dunia kedua bagi merawat anggota tentera yang tercedera.
Bagaimanakah Cara Antibiotik Bertindak? 
Terdapat dua cara utama antibiotik bertindak iaitu ;
Pertama, Bactericidal antibiotic membunuh bakteria dengan cara mengganggu pembentukan sel atau dengan cara memusnahkan kandungan sel bakteria.
Kedua, Bacteriostatic antibiotic menghalang pembiakan bakteria dengan mengganggu penghasilan protein,replikasi DNA dan mengganggu dalam metabolisma sel bakteria.
Definisi Antibiotic Resistance
Ketidakberkesanan antibiotik adalah satu proses semulajadi yang berlaku akibat kebolehan bakteria mengadaptasi sebagai satu cara kemandirian spesis mereka. 
Sesuatu antibiotik tidak lagi berkesan untuk membunuh dan merencat pembiakan bakteria akibat penyalahgunaan yang berleluasa dalam kalangan manusia dan binatang ternakan.
Menurut Ahli Mikrobiologi Dr Matthew Dryden yang dipetik dari artikel The Independent bertarikh 14 Mac 2017, salah satu cara kerintangan antibiotik adalah mutasi genetik pada bakteria yang membolehkannya menghasilkan enzim khas untuk memusnahkan antibiotik. 
Hal ini akan membuatkan jangkitan ringan yang boleh dirawat menggunakan antibiotik biasa seperti penicillin tidak lagi berkesan.
Walaupun antibiotic resistance merupakan proses semulajadi, tidak dinafikan bahawa penyalahgunaan antibiotik yang berleluasa dalam kalangan masyarakat serata dunia menyumbang kepada masalah ini. 
Kehancuran spesis manusia itu bukanlah disebabkan oleh makhluk lain namun manusialah sendiri yang menghancurkan diri mereka dengan tangan-tangan mereka sendiri. 
Ayat ini bertepatan dengan firman Allah didalam Al Quran Surah As Syura ayat 30 ; “ Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar ( dari kesalahan-kesalahanmu ).”
Faktor-Faktor Kerintangan Antibiotik Serta Cadangan Pencegahan
Individu dan Masyarakat
Jangkitan virus yang selalunya menjadi punca demam, batuk dan selsema adalah jangkitan yang tidak memerlukan antibiotik. Namun, mentaliti sesetengah individu yang berpendapat bahawa setiap penyakit memerlukan antibiotik adalah tidak tepat dan berbahaya sama sekali.
Kita harus sedar bahawa antibiotik adalah ubat yang digunakan untuk melawan bakteria atau kuman penyebab penyakit pada manusia dan perlu diingat pula bahawa bakteria mampu melawan dan beradaptasi sekiranya mereka terdedah kepada antibiotik yang tidak digunakan secara betul. Pepatah barat mengatakan, what doesn't kill you makes you stronger.
Oleh itu, sebagai masyarakat yang bertanggungjawab kita hendaklah mengamalkan langkah berikut bila menggunakan antibiotik bagi mengurangkan kadar kerintangan antibiotik (resistance) ;  
1. Gunakan antibiotik hanya untuk kes yang perlu sahaja.  
2. Mengikut dos yang telah ditetapkan. Jangan memakan antibiotik secara berlebihan atau sebaliknya.
3. Melengkapkan tempoh masa rawatan antibiotik. Sekiranya pengamal perubatan mengarahkan anda memakan antibiotik selama seminggu, anda hendaklah mematuhi arahan tersebut tanpa tertinggal secara sengaja ataupun tidak sengaja. Tiada istilah “cuti” sehari atau dua hari, tiada istilah berhenti mengambil antibiotik sebelum masanya walaupun anda sudah berasa sihat. Selagi tempoh masa belum lengkap, selagi itulah anda perlu mengambilnya dengan patuh untuk kebaikan bersama.
4. Mengelakkan minuman atau makanan atau ubat-ubatan lain yang boleh berinteraksi dengan antibiotik. Anda hendaklah berbincang dengan pegawai farmasi mengenai reaksi ubat-ubatan dengan antibiotik yang anda ambil.  
5. Mengelakkan berkongsi ubat dengan pesakit lain kerana tidak semua pesakit memerlukan antibiotik.
6. Jangan gunakan saki baki ubat antibiotik yang telah tidak digunakan.
7. Sebaik-baiknya lebihan ubat antibiotik hendaklah diserahkan kembali kepada pihak farmasi dan elakkan membuang lebihan antibiotik merata-rata terutama sistem perparitan.
Sektor Penternakan Komersil
Umum diketahui bahawa sektor penternakan juga tidak terlepas daripada terlibat dalam penggunaan antibiotik untuk mengelakkan jangkitan bakteria merebak pada haiwan ternakan yang boleh menyebabkan kerugian kepada penternak.  
Oleh itu, pengusaha yang bertanggungjawab perlulah mendapatkan khidmat nasihat daripada Pegawai Veterinar sebelum memberikan suntikan antibiotik kepada haiwan ternakan mereka.  
Terdapat banyak kes telah dilaporkan mendapati penternak memberikan suntikan antibiotik yang berlebihan kepada haiwan untuk mempercepatkan tumbesaran haiwan seterusnya mendapat pulangan yang lumayan dalam masa yang singkat.  
Isu ini sangat serius kerana haiwan tersebut akhirnya akan dihidang diatas meja makan kita untuk santapan seisi keluarga. Bayangkanlah betapa buruknya kesan perbuatan tidak bertanggungjawab ini kepada komuniti. Bukan sahaja boleh membahayakan pengguna malahan akan menyumbang kepada masalah kerintangan antibiotik yang sudah sedia menjadi beban berat yang harus dipikul oleh kita semua.
Sektor Industri Farmaseutikal
Menurut D.G. Joakim Larsson menerusi sebuah artikel keluaran National Centre For Biotechnology Information (NCBI), terdapat kajian menunjukkan kejadian pembuangan sisa antibiotik dibuang secara tidak sengaja ataupun sengaja ke alam sekitar terutama sistem perparitan dan seterusnya mencemarkan sungai oleh pihak yang berkenaan terutama sektor farmaseutikal.  
Hal ini juga amatlah serius kerana bukan sahaja boleh mencemarkan alam sekitar malahan boleh menyebabkan bakteria sedia ada di persekitaran terdedah kepada antibiotik yang menyumbang kepada mutasi genetik.
Perkara ini adalah salah satu punca kerintangan antibiotik semakin sukar dibendung kerana melibatkan beberapa organisasi besar yang memberikan impak negatif kepada kita semua dalam jangkamasa panjang.
Kesimpulan
Kerintangan antibiotik bukanlah isu yang remeh dan boleh dipandang dengan sebelah mata. Isu ini merupakan isu global yang telah hangat dibincangkan oleh pelbagai agensi antarabangsa sedari dulu lagi.
Semakin banyak kes kerintangan antibiotik dikesan, maka semakin berkuranglah pilihan antibiotik yang kita ada untuk merawat jangkitan tersebut. Amatlah dikhuatiri jika suatu masa nanti apabila tiada lagi antibiotik yang berkesan bagi melawan bakteria yang dikenali sebagai superbugs ini , spesis kita, anak cucu kita bakal terancam oleh pelbagai penyakit berbahaya.
Bayangkanlah nama-nama seperti mycobacterium tuberculosis, streptococcus pneumoniae, escherichia coli dan vibrio cholerae yang sebelum ini mungkin kita tidak pernah kenali akhirnya satu masa nanti nama-nama ini akan menjadi sebutan yang menggerunkan yang setaraf dengan Human Immunodeficiency Virus / AIDS. 
Tidak mustahil perkara itu terjadi sekiranya kita terus menerus leka dan mengambil mudah mengenai isu antibiotic resistance ini.
Tepuk dada, tanyalah minda. Jangan sudah terhantuk baru terngadah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.
Rujukan
1. Antibiotic resistance faqs by CDC
http://ift.tt/2zDyajm 
Retrieved 18.10.2017
2. Antibiotic Resistance fact sheet by WHOhttp://ift.tt/2zDybDW Retrieved 18.10.2017
3. D. G. Joakim Larsson (2014) Antibiotics in the environment
http://ift.tt/2zCYGcw
Retrieved 19.10.2017
4. Antibiotic Resistance Bacteria
http://ift.tt/2zDycru
Retrieved 19.10.2017
5. Katie Forster (14.3.2017) Superbug drug launched to fight growing threat of antibiotic resistance http://ift.tt/2zDpslb
Retrieved 18.10.2017
6. Lecia Bushak (17.2.2016) A Brief History of Antibiotic Resistance : How a medical miracle turned into the biggest public health danger of our time. 
http://ift.tt/2h8xaNj
Retrieved 19.10.2017