"Memang terkejut apabila dimaklumkan tentang kejadian, namun saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.
Anak saudara anggota polis yang terkorban semasa bergelut dengan penjenayah semalam, Delimawati Ismail yang popular dengan filem Hantu Kak Limah Balik Rumah memberitahu, dia sudah lama tidak bertemu dengan arwah, namun menyifatkan bapa saudaranya itu sebagai seorang yang baik dan sangat pendiam, kata beliau ketika berada di HTAR, semalam.
Dalam pada itu, rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, dia dan rakan-rakan lain memanggil Arwah Raja Aizam dengan nama Ijam atau Sendut.
"Kami ni rakan sekampung, memang rapat sangat dari kecil," kata rakan baik Allahyarham Koperal Raja Aizam Raja Mohd, mangsa serang hendap oleh lima suspek warga asing di Taman Sentosa, di sini, semalam.
"Arwah adalah anak tunggal dan dia seorang yang pendiam tetapi dia sangat bagus dalam pergaulan.
"Dia tak pernah berkira dan selalu berjumpa setiap kali pulang ke kampung di Sayong Lembah, Kuala Kangsar," katanya ketika ditemui di rumah Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, semalam.
"Memang tak sangka dia akan 'pergi' dengan cara begini, kehilangannya pasti dirasai," katanya.
Sepupu mangsa, Norhasrulnizam Mohd Isa, 38, berkata, jenazah arwah disembahyangkan di surau Pangsapuri Polis Taman Sri Andalas, semalam, sebelum dibawa ke kampung Sayong Lembah untuk dikebumikan.
"Allahyarham meninggalkan seorang balu, Nor Salmah Noordin, 52 dan empat anak berusia antara 17 hingga 25 tahun," katanya.
|