-->

September 11, 2014

Jururawat diperkosa dalam ambulans


JOHOR BAHRU 10 Sept. - Seorang pemandu ambulans ditahan kerana disyaki merogol seorang jururawat sebuah hospital di dalam sebuah ambulans pada 4 September lalu.

Dalam kejadian pukul 12.45 malam itu, mangsa berusia 31 tahun mendakwa terlelap seketika di bahagian belakang van tersebut kerana terlalu penat bekerja setelah pulang dari sebuah hospital di bandar raya ini.

Sebaik sahaja tersedar, mangsa mendapati van yang dinaiki diberhentikan di kawasan gelap di belakang asrama hospital dengan pintu kenderaan berada dalam keadaan berkunci.

Disebabkan panik, mangsa cuba mencari sesuatu untuk membuka pintu ambulans tersebut dan tanpa disedari pemandu ambulans tersebut didakwa muncul dari belakangnya terus memeluk dan mengucup mulutnya.

Menurut mangsa, pemandu ambulans berusia 31 tahun itu kemudian menyelak pakaiannya sehingga berlaku pergelutan antara mereka sebelum dapat merogolnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Zulkepli Hashim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

"Laporan kes telah kita terima dan akan menjalankan siasatan. Lelaki itu telah kita tangkap untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan lelaki terbabit kini direman selama tujuh hari hingga 16 September ini.