-->

September 16, 2014

Shila Amzah perasan bagus?


Banyak orang sedia tahu bahawa dia bagus sebagai seorang penyanyi. Dalam usia muda dia sudah mampu 'menakluk' negara tembok besar Cina. Saat dari dia bergelar juara Asian Wave 2012, bermula dari situ anak kepada penyanyi popular 80-an, ND Lala ini semakin laju mencipta nama, dikelilingi ribuan peminat dalam dan luar negara sekali gus terkenal namanya di serata Asia Tenggara. Shila Amzah, siapa yang tidak kenal bukan?

Tapi... barangkali ada yang lupa, sebelum gadis berusia 24 tahun ini berjaya berdiri gah di puncak seperti hari ini, para media tempatan (media berbahasa Melayu) seringkali memberikan penyanyi ini ruang dan kesempatan untuk dia membuktikan bakatnya menerusi publisiti yang tidak putus-putus malah sokongan yang tidak berbelah bagi diberikannya.

Dan selama ini pun rasanya media berbahasa Melayu tidak punya masalah dengan penyanyi ini. Tapi entah kenapa, entri terbaru di akaun instagram miliknya memperlihatkan Shila seperti memprovok atau dalam kata lain dia seperti mahu menyampaikan rasa tidak puas hatinya terhadap media berbahasa Melayu.

Pada enteri tersebut Shila memuat naik gambar keratan media yang memberi liputan konsert sulungnya di Malaysia yang berlangsung pada hujung minggu lalu, kapsyen gambar tersebut seperti membanding-bandingkan media bebahasa Melayu dengan media berbahasa Cina.


Persoalannya, mengapa perlu Shila atau pihaknya menempelak media berbahasa Melayu begitu rupa? Kenapa dia tiba-tiba membanding-bandingkan media berbahasa Melayu dan Chinese Media? Adakah dia sudah lupa yang selama ini media berbahasa Melayu sentiasa menyokong kariernya semenjak zaman dia bergelar Shila Tekno lagi?

Kalau fasal kisah peribadi, kontroversi yang terpalit dan gosip-gosip yang timbul, itu perkara biasa. Lumrah untuk seorang artis. Lagipun kisah-kisah peribadinya itu timbul berpunca dari dirinya juga. Kalau tuan punya badan sendiri yang tak buka pekung dulu, tak meroyan di laman sosial, maka tak timbulah cerita-cerita sebegitu.

Mungkin kami ini bukan media utama, namun ternyata banyak media lain yang lebih dulu membantu melonjakkan nama penyanyi ini sangat terkesan dengan kenyataan yang diberikannya itu.

Ingin dijelaskan disini, untuk makluman pihak Shila dan juga para pembaca di luar sana, bukan media berbahasa Melayu tidak mahu membuat liputan tentang konsertnya yang diberi nama Shila Amzah Love Live In Malaysia pada Sabtu lalu itu, tetapi kebanyakan kami tidak menerima undangan untuk membuat liputan. Bagaimana mahu memberi liputan mengenai konsert itu jika tidak dijemput? Jika kami main datang sahaja, takut-takut nanti ada masalah pula yang timbul.

Mungkin... terdapat sedikit masalah atau salah faham yang terjadi antara pihak penganjur dan pihak pengurusan Shila. Kemungkinan pihak yang sepatutnya menghantar jemputan tidak melayangkan jemputan kepada wakil media berbahasa Melayu. Tetapi hal ini tidak patut berlaku melihatkan kepada pengalaman Shila yang lebih sedekad dalam dunia seni. Shila dan pihak pengurusannya sendiri harus tahu selok-belok dunia seni.

Tetapi apa yang menghairankan, ketika sidang media konsertnya yang berlangsung pada April lalu, ada pula jemputan yang dilayangkan kepada wakil media berbahasa Melayu. Wakil-wakil media berbahasa Melayu datang dan memberi liputan, walaupun diletakkan jauh di belakang wakil-wakil media berbahasa Cina. Malah pada awalnya kami tidak dibenarkan untuk menemuramah Shila secara 'one on one' kerana kesuntukan masa.

Bila tiada undangan untuk konsert, kami berpendapat, tak mengapalah kalau Shila atau pihaknya tidak menjemput media berbahasa Melayu untuk membuat liputan. Malah kami dan para media berbahasa Melayu lain mengambil pendekatan untuk berdiam saja. Nak buat macam mana kan... dah orang tak jemput. Lagipun kami pun tak mahu nanti dikata terhegeh-hegeh pula.

Tapi entah kenapa penyanyi kebanggaan ramai ini bertindak sedemikian rupa di laman Instagramnya? Apa masalah Shila sebenarnya?