Syarikat teknologi gergasi, Google menerima kecaman hebat di seluruh dunia selepas didakwa bertindak membuang nama Palestin dalam aplikasi peta miliknya dan menggantikannya dengan nama Israel.
Barisan Wartawan Palestin mengecam syarikat teknologi itu dan menyifatkan tindakan membuang nama Palestin sebagai 'komplot Israel untuk mewujudkan nama negara yang sah bagi generasi akan datang' dan menghapuskan Palestin untuk selama-lamanya.
Pertubuhan tersebut turut menegaskan, langkah Google itu juga bertujuan untuk memutarbelitkan sejarah dan geografi dunia termasuk hak penduduk Palestin terhadap tanah air mereka dan cubaan yang gagal untuk mengacau-bilaukan memori penduduk Palestin dan Arab serta seluruh dunia.
Mereka menuntut Google mengembalikan keadaan itu kepada asal dalam aplikasi petanya kerana tindakan syarikat itu bertentangan dengan semua kelaziman dan norma-norma antarabangsa.
Menurut laporan laman web dailystar.co.uk, tindakan Google itu telah mencetuskan pungutan suara dalam talian yang kini telah mencapai 116,000 tandatangan.
Pengguna internet yang cuba mencari nama Palestin dalam enjin carian Google Maps akan menemukan peta kosong Israel dengan kawasan bertanda Gaza, Judea dan Samaria.
Pungutan suara itu melabelkan tindakan Google sebagai 'penghinaan yang amat teruk' apabila Palestin tidak dimasukkan dalam Google Maps.
Kenyataan yang dikeluarkan berdasarkan pungutan suara itu menyebut 'sama ada secara sengaja atau sebaliknya, Google telah menjadi rakan subahat dalam usaha pembersihan etnik Palestin oleh rejim Israel'.
Pengarang pungutan suara itu, Zak Martin menggesa Google untuk mengiktiraf Palestin dalam Google Maps.
Pengguna Twitter turut mempersoalkan tindakan Google mengenai kedudukan Palestin dalam aplikasi peta berkenaan.
Seorang pengguna Twitter melontarkan soalan mengapa Palestin dikeluarkan daripada Google Maps manakala pengguna bernama Zainab menyifatkan tindakan Google sebagai 'amat memalukan'.
sumber
http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/google-dikecam-buang-palestin-dalam-peta-1.368218