Jurufoto akhbar New Straits Times Press (NSTP) yang cedera dipukul dalam kekecohan selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) Sabtu lalu, hari ini menafikan dakwaan ia lakonan yang dirancang.
Supian Ahmad, 36, berkata pelbagai tuduhan dilempar kepadanya menerusi laman sosial termasuk mendakwa beliau dibayar untuk melakukan perkara itu dan menipu kamera miliknya dirampas penyokong JDT.
"Saya juga dikatakan orang Perak, sedangkan saya bukan orang Perak ...itu adalah fitnah terhadap saya dan pengamal media lain juga difitnah sebagai suka menipu.
"Sebagai pihak berkecuali, saya terkilan kenapa saya dipukul dan diserang? Saya harap pihak berkenaan menarik balik dakwaan sebelum saya membuat laporan polis," katanya.
Dalam insiden di Stadium Perak Sabtu lalu, Supian dilapor diserang penyokong JDT di tengah padang selain dipijak di beberapa bahagian badan, manakala kamera bernilai kira-kira RM30,000 miliknya dirampas.
Menurutnya, kamera itu ditemui semula di atas padang oleh seorang petugas media ketika polis melakukan pemeriksaan.
"Gambar dalam kamera masih ada dan kerugian yang saya alami lebih RM1,000 kerana 'filter' kamera rosak dan komputer riba pecah sedikit," katanya.
Susulan serangan terhadapnya, Supian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam semalam, selain menyerahkan beberapa bahan bukti termasuk gambar serta video untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak Sayed Mohd Hesham Sayed Idris berkata satu akta perlu diwujudkan bagi melindungi pengamal media ketika menjalankan tugas.
"Kejadian itu tidak sepatutnya berlaku kerana pengamal media diserang tanpa sebab, kita tidak sokong mana-mana pasukan, kita berada di pihak berkecuali," katanya.
sumber
http://www.hmetro.com.my/node/157540