Mimpi ngeri buat atlet gimnastik artistik Perancis, Samir Ait Said apabila mengalami patah kaki kiri sewaktu beraksi dalam acara batang titian lelaki pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik Rio 2016 di Arena Olimpik Rio, Brazil awal pagi semalam.
Kecederaan itu dialami selepas dia gagal melakukan pendaratan kemas hingga menyebabkan tulang tibia dan fibulanya patah, malah bunyi patah tersebut dilaporkan didengari dengan cukup kuat.
"Dia (Samir) memberikan prestasi 200 peratus kerana matlamatnya di sini ialah memenangi pingat buat Perancis. Kecederaan dialaminya nyata amat sukar buat pasukan kami sekarang," kata ketua pasukan gimnastik Perancis, Corrine Moustard-Callon.
Samir yang merupakan pemenang pingat emas acara gelang roman pada Kejohanan Gimnastik Artistik Eropah 2003 di Moscow, Rusia menerima tepukan gemuruh daripada para penonton ketika diusung keluar ke hospital berdekatan oleh pasukan perubatan bertugas.
Biarpun dalam keperitan, namun atlet berusia 26 tahun itu masih sempat melambai tangan ke arah penonton sebagai tanda terima kasih atas simpati dan semangat yang diberikan oleh mereka terhadapnya.
Sebagai rekod, Samir sebelum ini pernah mengalami kecederaan lebih teruk iaitu patah tulang tibia pada tiga bahagian, menyaksikan dia terlepas peluang untuk beraksi pada Sukan Olimpik London 2012.
Bagaimanapun, Persekutuan Gimnastik Perancis berjanji akan berusaha sedaya upaya memastikan Samir memenangi pingat emas pada temasya seterusnya, Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. – Agensi
sumber
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_06.html