-->

November 20, 2017

Kanak-Kanak Dua Tahun Yang Hilang Sejak Dua Minggu Lepas Ditemui Mati.

Misteri kehilangan seorang kanak-kanak berusia dua tahun di Kampung Ruan Baru di sini sejak 6 November lalu bakal terungkai apabila satu mayat kanak-kanak lelaki ditemui di sekitar kawasan Bukit Ruan, di sini malam tadi lapor Kosmo Online hari ini.

Memetik laporan itu, Ketua Polis Daerah Simunjan, Deputi Superintendan Zamzuri Mohamad berkata, penemuan mayat kanak-kanak lelaki yang dipercayai sudah dalam keadaan reput itu akan merungkai misteri kehilangan Desmond Eddieyson Davey, 2, hampir dua minggu lalu. 


Menurutnya, mayat kanak-kanak terbabit ditemui oleh seorang penduduk kampung yang keluar memburu di sekitar kawasan bukit berkenaan pada pukul 7 malam. 

"Mangsa yang dipercayai Desmond itu dijumpai kira-kira lima kilometer (km) dari kawasan rumah keluarga mangsa. 

"Siasatan awal mendapati mayat kanak-kanak malang tersebut ditemui dalam keadaan tidak sempurna, berbaju namun tidak berseluar," katanya ketika dihubungi oleh portal itu.

Mengulas lanjut, Zamzuri memberitahu, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) di Kuching untuk dibedah siasat bagi menentukan identiti sebenar mangsa. 

Jelasnya, berdasarkan baju yang dipakai mangsa sebelum dia dilaporkan hilang, ahli keluarga dia yakin ia adalah mayat Desmond. 

"Proses bedah siasat dijangka dilakukan di Jabatan Forensik, HUS pada petang ini," katanya