-->

November 12, 2017

Ubat Darah Tinggi Bukan Punca Rosak Buah Pinggang.

Ubat Darah Tinggi bukan punca rosak buah pinggang!
Maaf, pagi-pagi saya terbaca PM tentang Video di IG seorang jamu founder katanya. Terima kasih kerana PM saya. Memang saya ada alahan dengan sesiapa sahaja yang sebut buah pinggang.

1. Darah Tinggi macam-macam puncanya! Yang kenyataan kurang oksigen dalam badan ini entah mana dia dapat.
Kami ada Malaysian CPG on Hypertension, yang telah diterbitkan untuk panduan Doktor-Doktor merawat pesakit Darah Tinggi (link: http://ift.tt/2zR5N5t). Lain orang lain ubatnya.
Contohnya yang ada protein dalam urin, Kencing Manis dan beberapa indikasi lain, ubat jenis ACEI / ARB yang perlu diberi. Ya, ubat ini diperlukan periksa darah buah pinggang di dalam masa 2 minggu. Jangan salah faham. Bukan sebab ia merosakkan buah pinggang. Fungsi ubat ini untuk merendahkan tekanan di dalam kilang penapis buah pinggang (glomerulus); ianya kesan yang elok. Tapi jika anda ada salur darah sempit (renal arteri) ia akan menyebabkan fungsi buah pinggang terjejas. Sangat jarang berlaku. Pendapat saya, bagus lah darah fungsi buah pinggang dipantau, baru tahu kesihatannya. Mohon tanya baik-baik dengan Doktor anda.
2. Kalau Darah Tinggi tak terkawal, itulah menyebabkan kerosakan buah pinggang. Statistik negara kita, ini lah punca kedua pesakit menjalani Dialisis selepas Kencing Manis (NRR, 2016). Kilang penapis buah pinggang mengalami proses glomerulosclerosis, ianya terus tidak boleh diguna pakai lagi.
3. Pendapat saya tentang jamu;
Yang tak berdaftar-JAUHKAN
Yang berdaftar dan ada penyakit kronik-tanya Doktor yang merawat anda (saya yakin mereka akan kata JAUHKAN juga)
Yang tiada penyakit dan nak ambil jamu berdaftar KKM, saya nasihat kan buat ujian darah fungsi hati & buah pinggang berkala. Baru tahu sesuai atau tidak. BUKAN SEMUA boleh sesuai.
Jadi, untuk menyenangkan keadaan; pendapat saya tak payah ambil apa-apa jamu. Makan sahaja bahan-bahan segar dari pokoknya dan praktikkan gaya hidup sihat.
Jangan sesiapa terpedaya dengan iklan macam ini.
Saya mohon masyarakat jangan percaya sesiapa yang komen tentang buah pinggang kalau bukan pakar di dalam bidang itu. Kalau perlu, saya akan ulas disini. Jika tidak, mohon anda berjumpa Pakar Buah Pinggang yang berdaftar di Malaysia.
Audit kami di Pahang Tengah, hampir 30 pesakit dapat Strok setiap bulan. Lebih 85% ada Darah Tinggi dan lebih 50% ada kondisi “Hypertensive Emergency” semasa sampai di Hospital; iaitu bacaan > 170/110mmHg.
Mohon jauh kan diri dan keluarga anda menjadi statistik ini. Kawal Darah Tinggi. Makan ubat Doktor baik-baik.
Kesihatan adalah tanggungjawab anda sendiri.
Rafidah Abdullah
Pakar Perunding Perubatan & Nefrologi
#MedTweetMY