-->

Disember 30, 2017

Sejam Menderita, Kaki Kanak-Kanak Tersepit Di Rantai Motor - Peringatan Untuk Ibu Bapa.

Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menanggung kesakitan hampir sejam apabila kaki kirinya tersepit pada rantai motosikal yang ditunggang bapanya, lapor Harian Metro.

Dalam kejadian jam 5.50 petang semalam di Jalan Kelapa Bali Taman Soga Batu Pahat, Johor, mangsa, Ahmad Khalifi Mohd Khairy membonceng motosikal bapanya ketika bersiar-siar.

Namun secara tidak sengaja, mangsa menjulurkan kaki menyebabkan kakinya terkena pada rantai motosikal sebelum tersepit. 
 




 
Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, menerima panggilan kecemasan dari orang awam berhubung kejadian itu dan segera menghantar lima anggotanya dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat ke lokasi kejadian untuk membantu mangsa. 

Ketika tiba di lokasi kejadian, mereka mendapati mangsa sedang ditenangkan oleh bapanya dengan bantuan orang ramai agar tidak menangis dan panik. 

Bomba berjaya mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat pemotong khas dan mangsa segera dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut. 
 
Sementara itu, bapa mangsa enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu. 

Para penunggang motosikal dinasihatkan sentiasa berhati-hati ketika membawa anak-anak mereka membonceng motosikal bersama-sama, bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.