-->

April 10, 2018

Wahai Mak Bapak, Cikgu Bukannya Bibik Kamu..

Oleh :Syamsul Rijal Jamil

Cikgu BUKAN Bibik!

"Cikgu nanti pastikan anak saya makan nasik tu jangan letak bla bla bla , dia tak makan bla bla bla";

"Cikgu nanti lepas bersenam masukkan baju basah anak saya tu dalam plastik ya, jangan sampai bercampur dengan buku pulak"

"Cikgu balik nanti letakkan beg anak saya tu di pondok pengawal ya, berat dia nak bawak keluar sekolah"

 
Arahan-arahan diatas adalah sebahagian dari message yang datang dari ibu bapa melalui text "Group Whatsapp" atau "Personal Messenger" kepada guru-guru terbabit. Kebanyakkannya ibu bapa murid tahun 1 dan 2.

Semakin anak-anak itu membesar, maka ego dan kepala ibu bapa juga menjadi semakin membesar dengan menyalahkan guru dan sekolah atas semua perkara yang dia tidak berkenan berlaku pada anaknya.

Ibu bapa yang biadap melahirkan anak yang kurang ajar, bukan pasal tak cukup ilmu disekolah, tapi sebab mak bapaknya melindungi syaitan kecil itu dirumah.

Sekolah tempatnya mendidik dan membina. Akan ada proses belajar, berlatih dan hukuman. Sekolah adalah kawasan larangan bagi ibu bapa campur tangan. Kalau mak bapak nak masuk jugak, sila jadi cikgu disitu. Kalau tidak sila bawa anak anda keluar dari sekolah itu dan ajarlah mereka sendiri.

Ibu bapa WAJIB hormat guru anak-anak sebagai guru kita sendiri dan bukan sebagai maidatau penjaga sementara kita keluar mencari rezeki. Usah diperlekeh Guru itu kerana dia memandu kereta Proton lama dan kita memandu kereta mewah yang boleh beli 100 kereta Proton Perdana.

Guru-guru juga bukan amah atau orang gaji kita untuk anak-anak kita diuruskan disekolah. Sekolah bukan nurseri, mak bapak tak payah nak jadi sangat bossy arahkan cikgu itu dan begini.

Anak-anak kita ada "Split Personality" bila disekolah dan bila dirumah. Cikgu di sekolah lebih tahu dan kenal anak kita kerana masa yang mereka habiskan bersama lebih panjang berbanding kita sendiri. Mak bapak kena dengar, taat dan menerima komen cikgu terhadap anak tanpa bersungguh untuk menyanggah dan menentang. Sokonglah Cikgu dari segi moral dan apa sahaja yang termampu.

"Ah ! Cikgu sekolah ni semua tak boleh pakai !" Sila bawak anak awak keluar dari sekolah itu dan hajarlah sendiri dengan ilmu awak yang boleh dipakai.

"Sekolah ni leceh la, semua tak boleh !, semua nak marah !," Sila bawa anak anda dan lepaskan dia ke dalam hutan agar dia bebas sebebas- bebasnya tanpa displin dan tiada binatang yang akan memarahi kesalahannya...



Kita tak perlu mencium kaki Cikgu seperti di Thailand, tapi metafora kerendahan diri itu sangat JELAS tentang isu hormat dan memohon redhanya Sang Guru. Ironinya di Malaysia ku ini, cikgu yang dikakinya dan mak bapak dengan tegar melindungi perbuatan "mulia" itu.

Guru merupakan KERAMAT bagi anak-anak kita, saya menjadi apa yang saya jadi sekarang antaranya kerana doa Cikgu saya dahulu.

"Syamsul esok bila awak dah jadi lawyer, awak kena tolong orang tau". Itu kata-kata Arwah Cikgu Fatimah kepada saya, Guru darjah 1 saya. Ketika itu dia menyebut dengan nada serius kepada anak yang baru berusia 7 tahun yang juga murid paling nakal dalam kelas 1 kuning.

Saya tidak pernah terfikir untuk jadi apa yang beliau sebut tapi itulah yang berlaku, perkara yang sama terjadi kepada beberapa rakan-rakan yang lain dengan profesyen yang berbeza.

Sehebat mana pun kita sebagai mak bapak, hormatilah Guru-guru anak kita. Zaman sekarang bukan lagi zaman guru merotan hingga pengsan. Saya masih beranggapan hukuman rotan masih releven untuk kes-kes ekstrim namun pendekatan "psychology" juga perlu.

Kita hantar anak ke sekolah untuk jadi pandai, untuk jadi manusia berguna, kalau kita asyik nak memandai dan menentang Cikgu disekolah, ambil lah anak itu, bawa dia pergi jauh di tempat yang lebih sempurna.