-->

Julai 19, 2018

Niat Mahu Berkahwin Ayu Sejak Dia Berumur 7 Tahun Lagi - Lelaki 41 Tahun.

Peraih getah yang berkahwin dengan budak berusia 11 tahun pada akhir bulan lalu, mendedahkan niatnya untuk berkahwin dengan isteri ketiganya itu ketika dia masih berusia tujuh tahun lagi.

 
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata niatnya turut disuarakan kepada kawannya selain menunjukkan gambar budak itu yang dipanggilnya Ayu ketika berada di tanah suci Makkah dan kebanyakan mereka bersetuju memandangkan dia tidak bersekolah selain berasal daripada keluarga miskin.

Beliau mengakui tidak pasti apa yang membuatkannya mahu berkahwin dengan budak yang seusia anaknya itu, namun mendakwa ia bukan kerana nafsu, sebaliknya sikap mahu melindungi Ayu selain menjaga kebajikannya.

"Ketika perkahwinan kami tersebar, hanya orang luar yang terkejut dengan berita berkenaan kerana kebanyakan penduduk kampung dan rakan saya sudah mengetahui perkara itu sejak sekian lama.

"Saya kenal Ayu sejak dia kecil lagi kerana tinggal berjiran, malah saya juga mengajar al-Quran kepada anak-anak serta Ayu....ketika itu saya kata pada diri, 'satu hari nanti saya akan ambil budak ini sebagai isteri' dan akhirnya saya mengotakan perkara itu empat tahun kemudian.

"Percayalah....ajal, maut dan jodoh daripada Allah...cacilah, kejilah saya, namun saya sedikit pun tidak rasa putus asa atau takut untuk meneruskan perkahwinan ini kerana tanggungjawab baru saya selain mendidik Ayu supaya semakin mendekatkan diri kepada Allah,"
katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sejak mula berkahwin, dia sudah berjanji tidak akan 'menyentuh' isterinya sehinggalah Ayu berusia 16 tahun dan janji itu akan dipegang sehingga tiba waktunya.

"Jika saya berkahwin hanya kerana nafsu, sudah tentu kami tinggal bersama dan tidak perlu menunggu sehingga lima tahun, namun selepas berkahwin saya berasa lega kerana boleh membimbingnya mendekati Allah selain menjaga kebajikannya tanpa dosa.

"Saya sedar ramai yang mengecam dan marahkan saya, namun mereka orang luar yang tidak kenal saya mahupun keluarga Ayu,"
katanya.

Peraih getah itu turut berharap supaya ketiga-tiga isterinya dapat hidup secara harmoni dan berkasih sayang, walaupun kini Ayu belum berjumpa dengan isterinya yang lain bagi menjaga emosi isteri pertama dan keduanya.

"Saya berjanji akan mengemudi rumah tangga kami dengan baik. Henti kutuk kami, sebaliknya sama-sama berdoa untuk kebahagiaan kami sekeluarga," katanya.


Sumber : Berita Harian