-->

Oktober 06, 2018

Saya Tak Fahamlah Kenapa Ramai Yang Komplen Sedangkan Video Itu Unik - Rezal Videographer..

Video perkahwinan dengan muzik latar romantis mungkin agak membosankan, malahan sudah terlalu banyak dihasilkan di pasaran.

Jadi suntingan luar biasa menggunakan animasi seperti peluru berpandu, telefon berputar, motosikal di atas bumbung menjadi kaedah terkini penghasilan video perkahwinan.

Namun kreativiti berlebihan dan tidak masuk akal itu menjadi mimpi ngeri buat Nur Farah Nisa Abd Razak dan pasangannya yang dikenali sebagai Hadi.

Sungguhpun menjadi bahan ketawa netizen, individu yang bertanggungjawab menghasilkan video viral itu, Rezal Mohd Harun tetap mempertahankan hasil kreativitinya.

"Kenapa tak suke ke? Ramai sangat orang complaint, saya pun tak faham mengapa.

"Video kahwin dalam pasaran sekarang semuanya sama sahaja. Jadi saya nak buat sesuatu yang lain daripada lain," katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Menurut Rezal, dia menggunakan perisian kesan khas dan Cinema 4D Studio bagi menghasilkan video berkenaan.

Rezal yang merupakan seorang kontraktor berkata bisnes suntingan video perkahwinan dilakukan secara sambilan sejak hampir tiga tahun lalu bagi menambah pendapatan.

"Saya adalah kontraktor landskap di sekitar Lembah Klang.

"Kerja suntingan video hanya sekadar suka-suka. Tawaran untuk menyunting video Farah dan Hadi pun saya terima daripada seorang perunding perkahwinan," katanya.

Ditanya mengenai video yang menjadi bahan jenaka netizen itu, Rezal mengakui menerima maklum balas negatif daripada pengantin.

"Perunding perkahwinan belum bayar lagi kepada saya. Katanya ada masalah kerana pengantin tak suka," katanya.

Ketika ditanya mengenai idea meletakkan kesan khas motosikal di atas bumbung, Rezal berkata ilham itu diambil daripada sebuah rangkaian restoran terkenal.

"Biasanya kita boleh nampak dekorasi motosikal di atas Hard Rock Cafe.

"Jadi saya terfikir untuk gunakan animasi motosikal di atas masjid bagi memastikan ia lebih menarik," katanya.

Rezal memberitahu dia tidak memiliki kelulusan dalam bidang suntingan video namun mempelajari teknik berkenaan daripada rakannya yang merupakan seorang penyunting drama.



Sumber : Mstar Online