-->

April 19, 2019

Jawapan Kepada Puan Asiah Jalil Berkaitan Hadis Nabi Di Gua Hira'.

Oleh : Dr. Ustaz Rozaimi Ramle - Hadith
[Jawapan Kepada Puan Asiah Jalil Berkaitan Hadis Nabi Di Gua Hira']



Saya membaca tulisan Puan Asiah Jalil berkenaan dengan Nabi sallallah alaih wasallam meninggalkan isteri baginda sewaktu berada di Gua Hira'.

Saya kira terdapat kekeliruan yang ada pada tulisan beliau. Saya menjangkakan bahawa beliau tidak membuat rujukan silang atau mungkin juga beliau tidak mahir dengan kitab-kitab hadis.

Puan Asiah mengatakan Nabi sallallah alaih wasallam bersenang-lenang beribadat di Gua Hira' dan meninggalkan anak-anaknya di bawah jagaan isterinya seorang. Ayat ini boleh difahami bahawa penulisnya ingin mengatakan baginda melepaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami ketika berada di luar.

Jika benar ini maksud penulis, bagi saya ini adalah salah dan batil. Jika kita menyemak kembali hadis berkaitan isu ini kita akan dapati bahawa apa yang berlaku tidak sepertimana yang difahami daripada membaca tulisan Puan Asiah.

Berikut jawapan saya:

1. Adakah Nabi sallallah alaih wasallam berada lama di Gua Hira’?
Ulama mempunyai 2 pandangan:
i. Sebahagian ulama mengatakan Nabi sallallah alaih wasallam berada di sana untuk tempoh masa panjang iaitu sebulan Ramadhan.
ii. Sebahagian ulama berpandangan Nabi sallallah alaih wasallam tidak meninggalkan anak-anak baginda di bawah jagaan Khadijah untuk tempoh yang lama. Ini kerana Aisyah menyebutkan dalam hadisnya:

الليالي ذوات العدد

Maksudnya: Malam yang berbilang-bilang. (HR Bukhari)

Al-'Aini menyebutkan orang arab menyebut berbilang-bilang ini untuk menunjukkan bahawa bilangan malam itu tidak banyak. (‘Umdat al-Qari, jil. 19, hal. 30) Ini dipersetujui oleh Abu al-Syamah. (Syarh al-Hadith al-Muqtafa, hal. 106)

Tambahan pula bekalan makanan di zaman itu adalah susu dan daging, ia tidak akan bertahan lama. (Fath al-Bari, jil. 12, hal. 356)

Inilah tafsiran yang tepat apabila melihat kepada lafaz hadis Aisyah dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim.

2. Adakah Nabi sallallah alaih wasallam sentiasa meninggalkan isteri baginda? Jawapannya tidak. Jika dilihat kepada riwayat Ibn Ishaq, baginda hanya berada di sana pada bulan Ramadhan sahaja. (Dalail al-Nubuwwah, jil. 2, hal. 147)

Itu pun bukannya Nabi sallallah alaih wasallam pergi sebulan penuh. Baginda akan balik jika bekalan habis dan jika rindukan keluarga baginda akan pulang bertemu mereka. (Syarh al-Hadith al-Muqatafa, 105)

3. Jangan terkeliru apabila disebutkan Nabi sallallah alaih wasallam meninggalkan anak-anak di bawah jagaan Khadijah. Ia seolah-olah ramai anak kecil (bayi) yang perlu dijaga. Jika kita buat kajian mendalam, antara anak Nabi sallallah alaih wasallam sewaktu baginda diutuskan menjadi Rasul adalah Zainab, Ruqayyah, Ummu Kalthum dan Fatimah. Menurut ulama sirah Zainab, Ummu Kalthum dan Ruqayyah telah pun berkahwin di zaman Jahiliah.

Ini isyarat bahawa Khadijah tidak bersendirian. Pastinya anak-anaknya yang sudah pun berkahwin membantunya. Apatah lagi apabila dalam hadis sewaktu Nabi sallallah alaih wasallam pulang ketakutan setelah menerima wahyu Nabi menyebut:

زملوني زملوني

Maksudnya: selimutkan saya, selimutkan saya.

Bagi yang memahami Bahasa Arab akan memahami bahawa arahan ini adalah arahan untuk ramai manusia. Ini bermakna di dalam rumah Nabi sallallah alaih wasallam terdapat ramai yang memahami arahan. Ini menunjukkan mereka sudah besar dan bukan lagi bayi dan memahami arahan.

Boleh jadi juga Khadijah mempunyai pembantu ketika Nabi berada di Gua Hira'. Khadijah merupakan orang kaya dan tidak pelik jika dia mempunyai pembantu.

4. Masalah kita hari ini ialah apabila kita memahami hadis berdasarkan peristiwa yang berlaku hari ini. Apabila kita melihat suami tidak bertanggungjawab pada hari ini maka kita cuba memahami tindakan Nabi sallallah alaih wasallam begitu juga. Ini jelas salah. Padahal jika kita melihat kepada keseluruhan hadis kita akan dapati setelah Nabi mengadu ketakutan kepada Khadijah, Khadijah berkata kepada Nabi perkara berikut:

كَلَّا، وَاللهِ مَا يُخْزِيكَ الله أبداً، إنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضِّيفَ، وتُعِيْنُ على نوائب الحق.

Maksudnya: Tidak, demi Allah, Allah sesekali tidak akan menghinakan kamu selamanya. Sesungguhnya engkau sentiasa menghubungkan hubungan silaturrahim, sentiasa menanggung bebanan (membantu orang susah), sentiasa memberikan harta kepada orang miskin, sentiasa memuliakan tetamu dan sentiasa menolong perkara yang benar. (HR al-Bukhari)

Adakah logik bagi suami tidak bertanggungjawab mendapat pujian sebegini dari seorang isteri? Kemungkinan jika suami tidak bertanggungjawab akan ditambah lagi dengan bebelan seumpama:

Awak ni saja cari penyakit. Elok-elok duk di bawah, pergi pula panjat gua dan balik bawa penyakit!

Tetapi Khadijah memuji Nabi sallallah alaih wasallam. Ini membuktikan baginda adalah suami sempurna. Aisyah juga memuji Nabi sallallah alaih wasallam dengan mengatakan akhlak Nabi adalah al-Quran.

Nabi sallallah alaih wasallam sangat menyanyangi Khadijah dan menghargainya sehingga baginda selalu menyebut nama Khadijah walau setelah Khadijah wafat? Adakah orang begini sanggup melepaskan tanggungjawabnya terhadap isterinya?

Saya pasti isteri baginda lebih mengenali Nabi sallallah alaih wasallam berbanding Puan Asiah Jalil.

5. Jika banyak perbuatan Nabi terhadap isterinya yang Puan Asiah Jalil tidak suka, saya pula tidak suka Puan Asiah Jalil yang menyibuk memberi komentar tentang rumahtangga Nabi saya. Isteri baginda pun tidak kisah Nabi berada di gua Hira’, jangan pula orang lain yang terlompat kepanasan? Berhati-hatilah bila berbicara tentang Nabi sallallah alaih wasallam.