-->

Februari 27, 2014

Zaid tak layak tuduh Anwar bawa budaya rasuah - Rafizi


PETALING JAYA: PKR hari ini membidas bekas ahlinya yang bertanding di bawah tiket Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Datuk Zaid Ibrahim berhubung tuduhan yang dilemparkan pemimpin itu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, kenyataan Zaid bahawa beliau bertanding di DUN tersebut bagi menyelamatkan Selangor daripada Anwar yang dirujuknya membawa budaya rasuah, adalah sangat tidak bertepatan kerana dakwanya, Zaid sendiri tidak membawa budaya berintegriti sewaktu masih di dalam parti itu.

"Dalam tempoh pendek lebih setahun beliau menjadi anggota Keadilan, beliau jugalah yang tidak segan silu cuba menggunakan kedudukan di dalam parti untuk mempengaruhi keputusan kerajaan negei Selangor berhubung beberapa projek yang diusahakan oleh rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau.

"Sebagai Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor, saya pernah didatangi sendiri oleh Datuk Zaid Ibrahim yang meminta supaya kami campur tangan dalam dua projek yang diusahakan rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR sebentar tadi.

Rafizi dalam pada itu menunjukkan salinan emel yang dihantar Zaid kepadanya pada tahun 2010 sebagai bukti Zaid menggunakan kedudukannya dalam parti meminta campur tangan kerajaan negeri dalam beberapa projek.

Dalam kandungan emel tersebut, Zaid didakwa berinteraksi dengannya menggunakan alamat e-mel carbofree@gmail.com bagi melobi projek pembangunan bersama Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

"Projek pertama melibatkan tanah seluas 26 ekar di Batu/Selayang. Saya dimaklumkan bahawa rakan/rakan kongsi beliau telah membuat cadanagn pembangunan bersama dengan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB).

"Pada 25 Jun 2010, dalam satu emel yang saya sertakan bersama, Datuk Zaid Ibrahim secara terang-terangan memohon pejabat saya campur tangan dengan melobi Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk meluluskan cadangan yang dibuat oleh rakan atau pihak yang bersabit dengan beliau itu," katanya.

Jelas Rafizi lagi, beliau kemudian merujuk perkara berkenaan kepada Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian menyatakan tindakan Zaid tersebut tidak boleh dikompromi kerana melanggar prosedur yang ditetapkan pejabatnya.

"Oleh itu, pada 13 Julai 2010, saya membalas emel Datuk Zaid untuk memaklumkan kepada beliau prosedur yang akan digunapakai oleh pejabat kami dan kerajaan negeri dalam menangani permohonan pembangunan bersama harta kerajaan Selangor," terang Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Zaid sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding menentang Anwar dalam PRK Dun Kajang bagi menyekat 'Langkah Kajang' oleh PKR yang katanya bakal memudaratkan Selangor kerana hasrat Ketua Pembangkang itu yang ingin menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Penyertaannya itu juga kata Zaid adalah untuk memastikan Khalid meneruskan khidmatnya sebagai peneraju negeri terkaya di semenanjung itu.