PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas mahkamah itu mendapati beliau bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, lima tahun lepas.
Hakim Datuk Balia Yusof Wahi yang mengetuai panel tiga anggota mendengar rayuan pihak pendakwaan dalam kes itu, bagaimanapun membenarkan permohonan Anwar bagi penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan, dengan jaminan RM10,000.
Hakim Balia memerintahkan Anwar yang juga Ketua Pembangkang membayar jaminan itu Isnin ini sebelum 11 pagi.
Semasa prosiding pada Jumaat, mahkamah diganggu oleh penyokong Anwar yang membuat bising dan menjerit dalam mahkamah menyebabkan Hakim Balia memberikan amaran kepada mereka agar berhenti berbuat demikian.
Semasa membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada pertuduhan itu, Hakim Balia berkata panel sebulat suara memutuskan hakim perbicaraan telah khilaf dalam membuat penghakimannya bahawa sampel DNA dalam kes itu telah dicemari.
Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful, ketika kejadian berumur 23 tahun, di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Peguam mewakili Anwar, Karpal Singh ketika ditemui pemberita kemudiannya, berkata dengan keputusan itu, Anwar tidak layak mengemukakan borang pencalonan bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor pada Selasa ini - BERNAMA
|