PENGARAH Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli dilihat sebagai pemimpin pertama dari parti itu mengeluarkan kenyataan panas dan menghina institusi mahkamah di negara ini.
Dalam satu tweet yang dibuat pada pukul 6.48 petang hari ini, beliau melabelkan mahkamah di Malaysia sebagai mahkamah kangaru dan kangkung.
"The kangaroo and kangkung court sentenced @anwaribrahim to five years in prison (Mahkamah kangkung dan kangaru menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar Ibrahim," kata Rafizi dalam tweet berkenaan.
The kangaroo & kangkung court sentenced @anwaribrahim to 5 years of prison.
Dakwaan itu dibuat selepas Mahkamah Rayuan mensabitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah dalam tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar di atas tuduhan berkenaan.
Pada Jan 2012, Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi selepas mendapati beliau tidak bersalah dalam tuduhan yang sama.
Prosiding hari ini adalah hari kedua pendengaran rayuan pasukan pendakwaan diketuai Peguam Kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Mahkamah Rayuan hari ini turut membenarkan penangguhan hukuman penjara Anwar dan membenarkan beliau diikat jamin RM10,000 dan ia perlu diserahkan pada pagi esok sebelum pukul 11 pagi.
Selepas itu, hukuman penjara akan ditangguhkan sehingga selesai proses rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Ekoran tweet daripada Rafizi, tidak diketahui sama ada kenyataan sebegitu dilihat sebagai menghina mahkamah tetapi ia pasti membangkitkan kemarahan para pemimpin yang meyakini kredibiliti sistem kehakiman di Malaysia. – MYNEWSHUB.MY
|