-->

Mac 31, 2014

Padah melucah dengan adik tiri

Gambar hiasan

Seremban: Seorang pembantu kedai dijatuhi hukuman penjara 16 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap adik perempuan tirinya, Isnin lalu.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh berusia 30 tahun mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan kelucahan melampau iaitu meletakkan tangan adik tirinya berusia 26 tahun pada kemaluannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Rantau, dekat sini, pada 24 Mac lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Mohammad Zanudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Mengikut fakta kes, kira-kira jam 10 pagi hari kejadian, pengadu yang tidur di bilik tersedar apabila tertuduh memegang tangannya dan meletakkan di kemaluan.

Pengadu bertindak menendang tertuduh dan menjerit meminta pertolongan sebelum dicekik bagaimanapun lelaki itu keluar dari bilik selepas ibu mangsa datang.

Mangsa kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Rantau kerana bimbang keselamatannya.

Siasatan polis mendapati tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.