-->

Ogos 27, 2014

AJK PAS Pusat tuduh The Malaysian Insider fitnah Haji Hadi


PETALING JAYA: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kenyataan sebuah portal media online yang bertajuk 'Hadi Tawar Azmin sertai PAS bentuk kerajaan bersama UMNO' dan menyatakannya sebagai berita palsu.

Menurut AJK PAS Pusat berita yang dipaparkan oleh portal tersebut bukan sahaja berniat jahat malah sama sekali tidak benar.

"Saya yang juga turut hadir semasa Timbalan Presiden Parti Keadlian Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mengunjungi Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dengan intipati perbincangan berkisar kepada perasaan terima kasih Azmin Ali kepada Hadi.


"Ini kerana PAS telah mencalonkan nama beliau sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 17 Ogos lalu, selain dari meminta kata nasihat dan pandangan secara umum sebagai panduan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat (PR).

"Tiada disebut langsung mengenai kerajaan perpaduan bersama UMNO seperti yang didakwa," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, media portal berkenaan melaporkan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam dikejutkan dengan pengakuan presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menawarkan Timbalan Presiden PKR Mohamad Azmin Ali menyertai PAS bersama beberapa rakannya bagi membentuk kerajaan bersama di Selangor.

Menurut laporan portal itu lagi, tawaran itu ditolak Azmin.

Laporan portal itu turut mengatakan bahawa terjadi pertengkaran hangat antara Hadi dan Hanipa.

Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hasan Tantawi mencadangkan supaya mesyuarat bulanan PAS Pusat selepas ini diadakan di tengah-tengah Padang Merdeka dan untuk menjemput semua media cetak, elektronik dan media baru ( jangan hanya portal berkenaan ) untuk membuat liputan secara langsung.

"Ini kerana selepas ini tiada lagi privasi. Justeru itu tidak perlu mana-mana individu bersusah payah untuk 'feed' maklumat keluar dan tidaklah kita tertanya-tanya siapa yang membawa keluar maklumat.

"Bukankah kita di zaman langit terbuka? Untuk apa lagi dewan mesyuarat," soalnya.