Pada aksi separuh akhir, Chong Wei mudah menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-9, 21-7 dalam tempoh 33 minit di gelanggang Ballerup Super Arena, Denmark.
Tanpa memberi sebarang peluang kepada Axelsen yang diletakkan sebagai pilihan ke-14 kejohanan, Chong jelas berada di prestasi terbaiknya untuk melebarkan rekod kemenangan kepada pemain ranking 16 dunia itu kepada 5-0.
Chong Wei dalam laman sosial Twitter miliknya sebelum ini mengakui berhasrat untuk menghadiahkan kejuaraan dunia kepada Malaysia yang menyambut hari kemerdekaan esok.
"Tahun ini, Kejohanan Dunia BWF jatuh pada hari Merdeka. Untuk Malaysia, saya akan berjuang sampai saat akhir.
"Saya tahu betapa bermaknanya Kejuaraan Badminton Dunia kepada Malaysia. Saya akan melakukan yang terbaik," tulis Chong Wei beberapa jam sebelum melangkah ke gelanggang bertemu Axelsen.
Ini kali ketiga Chong Wei mara ke final selepas turut melangkah ke peringkat sama pada 2011 dan 2013 namun kecewa di tangan jaguh China, Lin Dan yang tidak beraksi tahun ini.
Lawan Chong Wei di final akan ditentukan di antara pemain Indonesia, Tommy Sugiarto dan jaguh China, Long Chen yang juga pilihan kedua kejohanan.
Sebagai rekod, Malaysia hanya sekali memenangi emas dalam acara perseorangan lelaki iaitu menerusi Punch Gunalan pada tahun 1970 di Bangkok.