-->

Ogos 25, 2014

Lelaki gila seks dicekup sedang 'pancing' baju dalam di ampaian


BENTONG - Kekeliruan dan kegelisahan seorang suri rumah di Kampung Perting, di sini, yang sering kehilangan pakaian dalam yang disidai di ampaian belakang rumahnya akhirnya terjawab.

Semalam, sekitar jam 1 pagi, seorang lelaki berjaya ditangkap suri rumah terbabit bersama suami dan rakan-rakannya.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, ketika kejadian, mangsa dan suami yang sedang menonton televisyen dikejutkan dengan bunyi seperti ada orang di belakang rumah mereka.

Tambahnya, mangsa dan suami kemudiannya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di belakang rumah.

"Melalui CCTV terbabit, mangsa dan suaminya melihat kelibat seorang lelaki menaiki basikal telah mengambil sebatang kayu dan kemudiannya mencuri pakaian dalam milik mangsa yang disidai di ampaian.

"Mangsa dan suami kemudiannya bertindak pergi ke arah belakang rumah dan sebaik menyedari kehadiran mereka, suspek bertindak melarikan diri," katanya.

Tambahnya, suami mangsa kemudiannya telah mengejar suspek bersama rakan-rakannya dan berjaya menahan suspek di Taman Harmoni.

"Sebaik sahaja suspek berjaya ditahan, suami mangsa telah meminta suspek memulangkan sebungkus plastik berwarna merah yang mengandungi pakaian dalam milik mangsa.

"Suspek kemudiannya telah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan," katanya.

Difahamkan kejadian kehilangan pakaian dalam milik mangsa terbabit telah kerap kali berlaku sehingga menyebabkan mangsa dan suami bertindak memasang CCTV di belakang rumah mereka.