IPOH - Sebuah studio pengantin yang terletak di Jalan Lau Ek Ching di sini mengaku menjalankan sesi fotografi praperkahwinan dengan menampilkan sepasang model separuh bogel bagi tujuan seni.
Tinjauan Kosmo! ke studio itu pada pukul 4 petang semalam bagi mendapatkan penjelasan pengusaha butik yang menawarkan perkhidmatan fotografi perkahwinan mendapati terdapat tiga pekerja wanita berada di premis dua tingkat itu.
Salah seorang pekerja yang enggan dikenali ketika ditemui mengakui sesi fotografi tersebut dilakukan oleh salah seorang jurugambar lelakinya.
"Kita memang menjalankan sesi fotografi tersebut tetapi ia bukan bertujuan untuk publisiti.
"Gambar-gambar tersebut diambil bagi tujuan seni selain untuk produksi dalaman selain untuk portfolio syarikat, cuma situasi sebegitu kita biasa lihat di tepi pantai dan tidak di jalan raya," kata staf itu.
Selain itu, pekerja wanita tersebut memberitahu, pihak syarikatnya akan membuat laporan polis selepas dua keping gambar serta satu rakaman video berdurasi 27 saat berhubung penggambaran tersebut tersebar di aplikasi WhatsApp serta beberapa laman sosial.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Tarmizi Abd. Haq berkata, pihak polis sudah memulakan siasatan berhubung perkara itu dengan memanggil kesemua individu yang terlibat dalam sesi fotografi itu untuk diambil keterangan.
Menurut beliau, polis membuka siasatan kes itu mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan iaitu melakukan perbuatan lucah di tempat-tempat awam.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum sehingga tiga bulan atau dengan denda atau kedua-dua sekali.
|