-->

September 25, 2014

Laporan polis dibuat terhadap Dr M dan Najib


Berikutan ikrar menteri dalam negeri bahawa laporan polis mengenai hasutan akan disiasat dalam tempoh 24 jam, seorang ahli Parlimen DAP telah membuat laporan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Lim Lip Eng membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul tengah hari ini berkaitan dakwaan Dr Mahathir terhadap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang semasa kempen pilihan raya umum lepas.

Lim (kiri), yang juga ahli Parlimen Segambut, mendakwa Najib telah
mengucapkan kenyataan yang berunsur hasutan semasa Perhimpunan Agung Umno pada tahun 2010.

Laporan polis itu dibuat ekoran siasatan hasutan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenyataannya di sebuah ceramah pada tahun 2011.

Awal hari ini, Kit Siang bertanya kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sama ada ikrarnya untuk menyiasat dalam masa 24 jam, juga akan digunapakai terhadap Dr Mahathir.

Ini adalah laporan polis kedua DAP yang dibuat terhadap pemimpin tinggi Umno berikutan ikrar 24 jam Zahid itu.

Semalam, DAP Perak membuat laporan polis terhadap Zahid sendiri kerana didakwa membuat ucapan yang berunsur hasutan di pilihan raya kecil Pengkalan Kubor semalam.

Lim Kit Siang menuntut awal hari ini supaya Zahid mendedahkan sama ada polis telah mengambil kenyataannya ekoran laporan itu.