-->

September 04, 2014

PAS Cadang Letak Anggota Unit Amal Di Stesen LRT


AMPANG: PAS kawasan Pandan yang bermesyuarat malam tadi bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan bagi menempatkan anggota-angota Unit Amal di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah di sini.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad berkata, pihaknya yakin bahawa anggota-angota Unit Amal yang akan diletakkan mampu membantu pihak berkuasa dalam menjalankan tugas mereka terutamanya melibatkan kes jenayah di kawasan tersebut.

Katanya, cadangan tersebut disuarakan berikutan kes tetak dan ragut yang berlaku di stesen tersebut baharu-baharu ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Cempaka menambah, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga akan digesa supaya melakukan kerja-kerja naik taraf seperti memasang penghadang atau menyediakan lebih banyak lampu di sekitar stesen tersebut bagi mengekang jenayah ragut dan sebagainya.

Dalam kenyataannya juga, Iskandar berkata bahawa beliau sendiri akan turun padang melakukan rondaan bersama Unit Amal yang mana dijadualkan mula menjalankan tugas pada malam ini.

Pada 28 Ogos lalu, seorang pelajar kolej swasta di Ibu Kota telah disamun dan ditetak dibahagian lengan menggunakan pisau pemotong daging oleh seorang penyamun di kawasan perumahan Pandan Indah.

PAS sebelum ini turut menegaskan bahawa Unit Amal yang ditubuhkan sejak lebih 2 dekad yang lalu telah berdaftar dibawah sayap pemuda PAS dan mengikut perlembagaan parti.