-->

September 05, 2014

Terima Khalid sekarang bukan idea baik, kata PAS Selangor


PAS Selangor enggan menerima penyertaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu mahu menyertai parti Islam itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abdul Samad berkata, sekarang bukan masa yang baik bagi PAS menerima Khalid masuk memandangkan krisis di Selangor masih belum selesai.

"Saya rasa bukan idea yang baik kalau beliau hendak sertai (PAS) pada masa ini.

"Sekarang beliau ada banyak isu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di Shah Alam, hari ini.

Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa kelmarin berkata, cadangan menerima Khalid untuk membentuk kerajaan minoriti dengan Umno di Selangor perlu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) parti itu.