-->

Disember 21, 2017

Bunuh, Gilis Shell Taman Pelangi - 9 Lelaki, 4 Wanita Ditahan Polis.

Oleh : Bernama
 
POLIS sudah menahan 13 individu setakat ini melibatkan sembilan lelaki dan empat wanita bagi membantu siasatan kes bunuh di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, di Johor Bahru, Ahad lepas.

Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd berkata kesemua mereka berumur lingkungan 16 hingga 26 tahun.
 
 
"Semalam, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita di Pulau Pinang manakala empat lelaki dan tiga wanita lagi berjaya ditahan di Singapura dengan bantuan pasukan polis Singapura.

"Terkini, pada hari ini, seramai empat lelaki ditangkap di kawasan Johor oleh Tim Siasatan Khas Polis Diraja Malaysia menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan melibatkan sembilan lelaki dan empat wanita," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khalil berkata polis masih lagi meneruskan siasatan untuk mengesan beberapa lagi suspek yang dikehendaki bagi membantu siasatan.
 
Isteri Mangsa
Dalam kejadian 7.30 malam Ahad lepas, mangsa bunuh yang berumur 40-an berkenaan mati di tempat kejadian selepas ditikam, dilanggar dan digilis kereta dinaiki empat lelaki.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan isterinya berhenti di stesen minyak itu untuk mengisi angin tayar kenderaannya.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan mengesahkan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan dua kumpulan kongsi gelap.

Hari ini, Mahkamah Majistret Johor Bahru membenarkan permohonan polis untuk menahan reman enam individu melibatkan lima lelaki dan seorang wanita.

Majistret Noor Aisyah Ahmad membenarkan kesemua mereka direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.