-->

Disember 20, 2017

KFC, Mall Hari-Hari Penuh Pun Masih Banyak Orang Susah Di Malaysia, Tak Sangka Betul..

Oleh : Intan Nornie Sheika.

Kedai RM2 dan sebuah kehidupan.

Awal minggu lalu, melangkah ke Aeon. Ramai amat orangnya. Adam yang sedang demam, ditinggalkan rehat di rumah. Hajat tibu nak membeli dua hingga tiga pakaian sekolah. Nak 'grab' mana yang sempat.

Angkat sehelai. RM30. Dibelek yang lain. Baju sahaja minima RM24 satu. Belum dipadankan seluar. Laju kepala mencongak. 


Gambar Hiasan
"Tak cukup bajet ni." 
Usai beli barangan dapur tibu bergegas keluar. Kejar masa. Hati ingatkan Adam dirumah.

Tuju ke kedai yang lebih mampu milik. Kedai yang dulu jarang-jarang ada orang, sangat penuh. Dari mula meletak kereta, hingga ke kaki lima. Ada saja keluarga kecil dengan anak-anak berdiri dan bercakap-cakap sesama sendiri.

"Murah agaknya ni. Ramai orang ni."
Bilang tibu pada diri sendiri. Sebelum keluar dari kereta, cebisan kertas itu diperhatikan berkali-kali. Senarai keperluan sekolah Adam. Risau ada lupa catat.

Sempat belek helaian kertas dalam beg duit juga. Masuk ke dalam dan belek baju-baju. Lingkungan harga RM 13-RM 23. Alhamdulillah. Mampu milik.

Lalu tibu yang cerewet belek lipatan baju satu persatu. Sampai adik sales person yang manis kerling pada tibu.

"Akak perlukan bantuan? Nak saiz yang mana?,"
beliau cuba membantu.

"Dik, akak nak belek jahitan dia sikit, boleh ya? Maaf dik kalau akak susahkan kerja adik." Jawab Tibu. Sambil memberi sebuah senyuman.

Adik itu menggangguk. "Sebenarnya supervisor saya tak bagi. Tapi tak apa. Dia tak ada. Akak belek-belek dulu ya."

Sedang tibu asyik membelek kedengaran perbincangan antara dua orang. Di lorong sebelah rasa tibu. Suara wanita itu. 

"Cukuplah dua abang. Ayang basuh hari-hari. Sempatlah Long dengan Angah sekolah pagi dengan agamanya."

"Uish awaknya. Sempat ke? Kot bawak dek hujan tak berbaju sekolah budak-budak. Ambikla sehelai lagi. Esok-esok abang tanya Mail kot ada nak upah kutip durian, abang pegilah. Lepas duit bebudak punya kasut pulak." 


Kata lelaki itu. Suami wanita terbabit, tibu pasti.

"Tak pun baju Long tu kita pin la kalau-kalau Angah pakai gedeber beso. Tak yah la abang pakai duit tu. Esok nak isi minyak lagi," balas wanita itu.

Walaupun suara mereka sangat perlahan, tapi tibu dengar. Satu demi satu. Mungkin sebab kami memang bersebelahan. Dipisahkan oleh rak baju sehaja.

Tibu capai tiga pasang uniform dan pasangan itu tibu tinggalkan. Tak sanggup mendengar yang iya-nya. Usai membayar, airmata tibu dah mula bergenang.

Ya Allah dibalik keluh kesah diriku yang keletihan, ramai lagi diluar yang sudah lama jerih. Sudah lama pedih. Allahu. 


Tibu ke 'pit stop' akhir. Kedai eko RM2. Berhajat nak dapatkan keperluan alat tulis dan stokin Adam. Pun penuh..Ramai 'yak mat' umat manusia.

Yang membeli jajan sepenuhnya bakul. Dalam hati tibu, ingin memberitahu, namun ditelankan sahaja niat itu. Bimbang suasana tidak sesuai.

"Di sana orang berkira setiap sen yang ada membeli keperluan sekolah. Dekat sini, seronok pula dia masukkan setiap jajan kalori kosong tu sebab murah. RM 2 je kan."
Bisik pada hati.

Diambil 3 pek stokin, melintas sebentar ke bahagian barangan anak. Membelek pin, dan ternampak pasangan sedang membelek bungkusan beberapa keping 'pampers' yang di pek semula.
 
"Ambil dulu 4 cukup bang. Habuan tidur malam. Siang pakai ja lampin kain." Kata wanita itu. Pada lelaki sebelahnya.

Allahu sekali lagi sayup dalam hati. Hari ini Allah kirimkan dua pasangan ini melintas waktu tibu. Untuk tibu pelajari sesuatu.

Tentang kehidupan. Didalam rintihan kita, Allah ajarkan bahagia itu ada pada jiwa yang syukur setiap apa adanya.

Ada orang, yang hari - hari bergelut untuk hidup dengan apa yang dia tak ada.
Sedang kita. Yang hari - hari mengeluh dengan apa yang kita ada.