-->

Disember 13, 2017

Pasangan Kekasih Muda Yang Jual Bayi Kembar Di Mudah.my Ditahan Polis.

Sepasang kekasih ditahan polis selepas cuba menjual bayi kembar mereka secara atas talian pada harga RM15,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek wanita berusia 20 tahun ditahan di rumahnya di Setapak 8.00 malam tadi dan pasangannya berusia 18 tahun ditahan di rumahnya di Ampang sejam kemudian.


“Kami percaya kedua-dua suspek adalah pasangan kekasih dan bayi yang diiklankan di laman web jual beli atas talian itu adalah hasil hubungan luar nikah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Katanya, daripada siasatan awal, pihaknya mendapati belum ada pihak atau individu menghubungi wanita tersebut untuk membeli bayi mereka.

“Kita memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 48 Akta Kanak-Kanak,” katanya lagi.

Menurut laporan itu lagi, aktivis sosial, Syed Azmi Alhabshi yang menerima aduan mengenai iklan tersebut meminta pihak mudah.my memadamkan iklan tersebut.

Iklan yang bertarikh 8 Disember 2017 itu disertakan keterangan gambar menulis, “twins to let her go”.

Syed Azmi kemudiannya menghubungi pegawai polis di Bukit Aman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan perlindungan terhadap 2 bayi terbabit.