-->

April 15, 2018

Warga Pendidik, Netizens, Bersatu 'Tibai' Menteri Perkenalkan Subjek Alam Sekitar.

Sebelum ini Berita Harian melaporkan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Kabinet telah meluluskan silibus Alam Sekitar yang akan diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Pengenalan silibus itu diluluskan Kabinet pada mesyuarat terakhir 6 April lalu, sebelum pembubaran Parlimen.

Katanya, subjek itu dilaksanakan secara menyeluruh mencakupi pemuliharaan hutan, sungai, darat, laut, udara, keselamatan alam sekitar dan perubahan iklim.




"Banyak kementerian dan agensi terbabit dengan pelaksanaannya iaitu Kementerian Pendidikan; Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Pusat Kajian Kualiti Air dan Alam Sekitar (NAHRIM).

"Subjek ini penting untuk kesedaran penjagaan alam sekitar kerana banyak negara terbeban dengan perubahan iklim khususnya negara di Lautan Pasifik.

"Sebenarnya, banyak negara sudah memperkenalkan subjek alam sekitar sejak 1992 selepas Sidang Kemuncak Rio,"
katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Forum dan Ekspo Asiawater 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada khamis.



Bagaimanapun pengumuman itu nampaknya tidak dipersetujui oleh rata-rata warga pendidik seperti yang dizahirkan oleh mereka di laman sosial. 


Misalnya cikgu Mohd Fadli Salleh yang juga terkenal dengan gelaran Cikgu Korea. Beliau meluahkan beberapa perkara berhubung cadangan berkenaan.

Baca penulisannya dibawah ini;


Oleh : Mohd Fadli Salleh

Alam sekitar rosak bukan sebab budak-budak. Alam sekitar rosak sebab pembalakan haram yang masuk tanpa dapat dikawal.

Yang merosakkannya orang tua. Yang nak disusahkan mereka budak-budak.

Beg budak punya la berat dengan pelbagai buku teks. Silibus budak sekarang punya lah tinggi sampai mak ayah kerja Petronas, kerja engineer pun garu kepala nak bagi anak faham.

Sekarang mahu sumbat pula silibus baru? Mahu perkenalkan pula Subjek Alam Sekitar?

Subjek ni patut yang belajar ialah menteri besar setiap negeri. Tak kira negeri yang dikuasai pembangkang mahu pun kerajaan. Sebab mereka yang luluskan kerosakan alam sekitar yang berlaku dalam negeri masing-masing.

Sudah-sudahlah jadikan sekolah kambing hitam. Semua masalah negara nak suruh budak sekolah selesaikan. Konon didik generasi akan datang. Kononnya begitulah.

Benda ni boleh selit je dalam matapelajaran Sains, agama, moral mahu pun sivik. Tak perlu perkenal subjek baru.

Yang perkenalkan subjek tu bukan dia yang turun mengajar. Dia pandai-pandai nak perkenalkan sahaja lepas tu yang menanggung seksa selama masa ialah guru dan murid.

Mencadang senang lah. Melaksana tu perit bang.

Aku cadangkan kita bina bangunan setinggi 888 tingkat. Aku cadangkan juga gaji minima pekerja rm350,000 seorang. Aku cadangkan satu kelas 10 murid. Aku cadangkan setiap sekolah ada gym, kolam renang dan mini stadium.

Sedap kan cadang? Sedaplah sebab aku tak buat.

Mana pergi subjek pendidikan seks yang diperkenalkan suatu ketika dahulu?

Mana pergi subjek Keselamatan Jalan Raya yang disumbat dalam silibus sedia ada murid?

Perit nak kata. Tapi seseorang perlu berkata. Seseorang perlu menulis dengan telus.

Seseorang yang rapat dan tahu. Seseorang yang laksanakan sendiri semua dasar yang digubal.

Aku menulis bukan demi kepentingan diri. Jauh sekali demi kepentingan politik.

Sudah-sudahlah jadikan sekolah mangsa. Sudah-sudahlah suruh budak-budak selesaikan masalah orang dewasa.

Jangan politikkan sistem pendidikan. Tolong!

Yang nak bagi cadangan tentang penambahbaikan dalam pendidikan negara hendaklah orang yang betul-betul faham sistem kita. Orang yang benar-benar layak dan ahli dalam hal ini.

Yang pernah merasa perit getir, yang pernah merasa situasi mengajar dan keperitan para guru bandar, luar bandar dan pedalaman. Yang arif dengan perkembangan sistem pendidikan dunia dan taraf kemampuan fikir anak-anak kita.

Itu baru layak membincangkan hal-hal ini. Itu baru layak memberi cadangan dan membuat rombakan untuk penambahbaikan sistem pendidikan kita.

Hentikan campur tangan luar dalam sistem pendidikan.

Tolong hentikan tuan-tuan. Penat nak realisasikan kehendak tuan-tuan yang makin lama makin pelik dan menjengkelkan.

Mencadang itu mudah. Turun dan laksanakan sendirilah baru tahu langit tinggi rendah.

#MFS


Jangan caca marbakan lagi sistem pendidikan kita.

Reaksi netizens;

Patut buat subjek pengurusan kewangan supaya besar nanti tahu urus wang.. (sindir menteri)



Cadang memang senang tapi tukang nak laksana tu yang pening kepala nanti..


Banyak subjek banyak buku teks nanti ada la job syarikat printing..



Tekankan pada subjek sedia ada..




Dengan perkongsian lebih dari 6,000 kali (setakat artikel ini ditulis), rata-rata warga pendidik dan netizens bersetuju dengan ulasan cikgu Mohd Fadli Salleh.

Kebanyakan dari mereka beranggapan menteri terlalu gemar mencadang dan melaksanakan sesuatu tanpa melibatkan golongan sasaran yang terkesan dengan perubahan tersebut.

Ada juga yang berkata sepatutnya silibus sedia ada ditambahbaik bagi memperbaiki kekurangan andai ianya tidak mencakupi apa yang perlu diketahui oleh pelajar sesuai dengan perkembangan semasa.

Sesetengah ibu bapa pula risau andai terlalu banyak subjek yang diajarkan, kanak-kanak tidak dapat menikmati masa belajar dengan tenang dan gembira kerana terlalu banyak tekanan.

Ada yang berpendapat kementerian seharusnya menumpukan perhatian kepada prasarana sekolah awam yang usang dan ketinggalan zaman kerana masalah itu menyusahkan warga pendidik. Sesetengahnya perlu meminta derma bagi menyediakan suasana pembelajaran yang selesa. Sampai bila perkara ini akan dibiarkan acuh tak acuh oleh pihak kerajaan, soal mereka lagi. - SoZPress.