-->

Julai 18, 2018

7 Tahun Makan Pil Kurus, Tapi Berat Makin Bertambah


SEORANG wanita yang mengambil pil kurus selama tujuh tahun berdepan hasil yang tidak pernah disangka-sangka. Dia kini perlu menjalani pembedahan perut apabila berat badannya naik lebih 40kg berbanding sebelum makan pil kurus tersebut.

Wanita dari China itu, Xiaoli, 25, mula mengambil pil kurus tujuh tahun lalu, selepas menonton iklan yang meyakinkan di TV. Pada masa itu berat badannya adalah sekitar 44kg dan dia mahu menurunkan beratnya dengan bantuan pil.

Mengimbas peringkat awal pengambilan pil, hasilnya adalah menggalakkan tetapi sebaik sahaja dia berhenti mengambil pil itu, berat badannya bukan sahaja sukar turun, malah semakin bertambah.

Sejak itulah dia sedar bahawa dia telah membelanjakan kira-kira 200,000 yuan (RM120,000) untuk pelbagai pil kurus dan rancangan diet khas dalam tempoh tujuh tahun dan akhirnya berat badannya meningkat dua kali ganda.

Kisah Xiaoli baru-baru ini diterbitkan oleh akhbar Chengdu Business Daily, selepas wanita berusia 25 tahun itu pergi ke Chengdu dari bandar asalnya di Yibin untuk pembedahan perut. Dia tiba di Hospital Rakyat Chengdu dan memberitahu doktor di sana bahawa selepas tujuh tahun bergelut untuk kurus dan tidak menunjukkannya perubahan positif, pembedahan itu adalah satu-satunya peluang.

Wanita itu berkata selepas pengalaman pertama mengambil pil kurus, dia terus mencari pil atau program penurunan berat badan lain dalam talian tetapi keputusannya selalu sama. Dia tidak dapat mengingati semua ubat yang telah diambilnya dalam tempoh tujuh tahun, tetapi apa yang dia sedar, tidak ada satu pun daripadanya berhasil seperti dalam iklan. Bagaimanapun dia mengakui ada yang berhasil sehingga dia turun 13kg sebulan, dan apabila berhenti mengambilnya, berat badannya kembali naik, malah meningkat.

Pada satu ketika, kecewa dengan pengiklanan palsu, dia menghubungi perkhidmatan pelanggan mengenai program penurunan berat badan untuk bertanya mengapa mereka mendakwa perkhidmatan mereka menghalang kenaikan berat badan walaupun ia sebenarnya tidak, dan mereka hanya mengesyorkan program yang lebih kompleks dan beberapa pil kurus yang lain.

Xiaoli memberitahu Chengdu Business Daily bahawa dia telah membelanjakan kira-kira 200,000 yuan untuk pil kurus dan rancangan diet khas dalam tempoh 7 tahun lalu, dan menunjukkan rekod pembelian dalam talian sebagai bukti.

Wanita itu mendakwa dia mahu orang ramai sedar bahawa pengiklanan adalah sangat berbeza berbanding realiti untuk produk penurunan berat badan dan dia adalah contoh terdekat. Doktor berkata walaupun tabiat makan Xiaoli turut menyumbang kepada kenaikan berat badannya, dadah dalam pil yang diambilnya selama tujuh tahun adalah punca utama.

Timbalan pengarah Jabatan Nutrisi Wang Zhong memberitahu pemberita bahawa pil kurus berfungsi dengan menyekat selera makan untuk penurunan berat yang cepat tetapi kesannya tidak stabil dan tahan lama.

Sumber: PenmerahPress