-->

Ogos 15, 2018

Bayar Yuran Taska Mahal-Mahal Sampai RM380 Sebulan, Akhirnya Anak Jadi Mangsa Dera - Luahan Ibu Mangsa.

Oleh : Nur Hasriha Mohammad.

Assalamualaikum, berkenaan dengan kes dera anak saya tu. Terus terang saya katakan, saya langsung tak boleh terima apa yang dia dah buat pada anak saya. Saya tak sangka orang yang saya percaya boleh jaga anak saya sebenarnya berhati binatang (maaf bahasa kasar).. 



Kami bukan dari keluarga yang senang. Yuran bulanan yang mahal iaitu sebanyak RM380 mengharapkan penjagaan yang setimpal dengan harga. Bukan dengan cara macam ni. Terus terang saya cakap, sepanjang hantar anak ke situ, cikgu-cikgu semua nampak baik sangat depan saya. 



Sampai anak taknak sekolah saya pikir positif je. Rupanya inilah sebabnya anak saya taknak ke sekolah dan dia ada juga cerita teacher pukul Dina. Tapi cerita tu sebelum-sebelum kejadian. Saya tak percaya cakap anak. Dia siap tunjukkan teacher pukul macam mana.

Saya suami isteri masih berfikiran positif. Biarkan je apa yang Dina cakap. Setiap kali buka Facebook penuh cerita pasal Dina dan video tu sentiasa menghantui fikiran saya. Hati masih belum boleh terima apa yang terjadi sekarang ni..

Hari ni 14.8.2018, genap anak ummi DINA HANANIA BINTI SHAHRULZAMAN 3 tahun. Perancangan awal nak sambut birthday dia kat sekolah dengan kawan-kawan. Bila sudah jadi macam ni, memang tak buatlah. Ini tahun pertama dia sekolah dan tahun pertama dia dah merasai benda macam ni. Tadi sebelum dia tidur. Saya ada cakap dengan dia, Dina nak sekolah baru tak???


Seronok dia bila dengar ummi dia nak carikan sekolah baru. Mungkin dia rasa syurga bila sudah tak sekolah situ. Tapi saya harap sangat-sangat. Sekolah baru nanti tolonglah jaga anak saya betul-betul. Janganlah benda ini berulang lagi. Kasihanlah budak-budak yang tak berdosa dianiaya sebegini rupa.

Apa-apa pun saya berterima kasih kepada tuan yang merakam dan pengurus sekolah kerana bertindak cepat. Puan dah melakukan yang terbaik untuk anak-anak yang teraniaya ni. Terima kasih sangat-sangat.

Akhir sekali saya nak wish pada anak saya Dina Hanania Binti Shahrulzaman SELAMAT HARI JADI yang ke 3 tahun. Semoga kamu jadi anak yang solehah, berbakti pada ibu bapa, cemerlang dalam hidup dan semoga kamu dibawah lindungan Tuhan ye nak.

Kepada siperlaku. Saya tak akan maafkan awak sampai bila-bila. Dan saya harap nasib anak saya dan yang lain-lain akan terbela nanti. Tak lupa juga terima kasih sarjan dari IPK kerana bersungguh-sungguh untuk membela nasib anak-anak kami..


------------------

Oleh : Utusan Online

POLIS TAHAN 2 GURU WANITA DERA KANAK-KANAK
 

Polis menahan dua guru tadika bagi membantu siasatan video perlakuan kedua-dua mereka mendera serta memukul beberapa orang kanak-kanak di sebuah pusat perkembangan kanak-kanak di Cheng di sini, yang tular dalam laman sosial baru-baru ini.

Kedua-dua guru wanita itu yang masing-masing berusia 21 dan 40 tahun ditahan pada Sabtu lalu selepas polis menerima laporan yang dibuat oleh pengurus pusat perkembangan kanak-kanak itu pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 30 Julai lalu di pusat perkembangan kanak-kanak itu yang terletak di Cheng.

“Pusat perkembangan kanak-kanak itu mempunyai dua cawangan iaitu yang pertama dibuka di Ayer Keroh dan sebuah lagi di Cheng. Kejadian dikatakan berlaku di premis di Cheng membabitkan empat kanak-kanak.

“Susulan laporan dibuat pengurus pusat itu, polis menahan dua guru wanita terbabit bagi membantu siasatan dan ketika ini polis sedang melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001,”
katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.

Dua video rakaman kejadian itu, masing-masing berdurasi 2 minit 10 saat dan 36 saat tular dalam laman sosial menunjukkan tindakan dua guru wanita berkenaan memukul serta mencederakan beberapa orang kanak-kanak di pusat perkembangan itu.

Video berdurasi 36 saat memaparkan tindakan salah seorang guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh dari kerusi manakala satu lagi video menunjukkan tindakan seorang lagi guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat itu dan diletakkan di atas tubuh kanak-kanak lelaki yang terbaring.

Difahamkan, hasil pemeriksaan pada tubuh kanak-kanak itu bagaimanapun tidak menemukan sebarang kecederaan.
- SoZPress.