-->

Ogos 12, 2018

Kerana Tulis Surat Terbuka Untuk Marina, Doktor Ini Bakal Dikenakan Tindakan.

Oleh : Sinar Harian

Sebuah petisyen bagi solidariti untuk pegawai perubatan, Dr Nur Ilyani Mohamed Nawawi yang menulis surat terbuka bukan aktivis, Datin Marina Mahathir berkait Lesbian Gay Biseksual Transgender (LGBT) diwujudkan hari ini.

 
Ia susulan makluman terkini di mana doktor yang bertugas di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) itu bakal berdepan tindakan tatatertib selepas diadukan oleh pihak tertentu kepada Biro Pengaduan Awam (BPA).

Petisyen yang dibuat oleh Khairul Afnan Khalid itu antara lain menyatakan kebersamaan buat Dr Nur Ilyani atas dasar kebenaran.

“Setelah kenyataan beliau mendapat perhatian ramai, kini terdapat dua aduan di BPA yang menggesa tindakan tatatertib ke atas beliau.

Kami ingin tegaskan bahawa kenyataan beliau adalah benar, berasaskan kajian dan bukti serta amat penting untuk difahami oleh seluruh masyarakat.

“Oleh itu, demi masa hadapan yang sejahtera buat semua, kami menyatakan solidariti buat Dr Nur Ilyani,” katanya.

Menurut petisyen itu juga, meskipun tidak mengiktiraf LGBT namun mereka menyokong bahawa golongan itu perlu dibantu.

“Kami dengan ini menyatakan solidariti kami bersama Dr Ilyani yang mewakili suara majoriti rakyat Malaysia untuk tidak mengiktiraf LGBT namun menyokong mereka perlu dibantu.

“Tindakan terhadap Dr Ilyani adalah tidak wajar dan usaha mengiktiraf LGBT akan memburukkan jangkitan HIV di Malaysia,”
tulisnya.

Sehingga jam 7 malam, sebanyak 3449 petisyen telah ditandatangani oleh rakyat dari seluruh negara. - SoZPress.