Oleh : Nadzri Sazali
"Zek, semalam aku jumpa sorang sifu ni. Dia beli rumah flat, 1 blok terus. Gila admire beb."
Dulu, aku pun macam engkau. Aku pun gilakan hartanah. Mana tak gila, hartanah lah antara investment yang paling berbaloi. Manusia makin hari makin bertambah.
Tanah? 100 tahun pun cenggitu je saiznya. Dan kalau ikut asas ekonomi, demand>supply, kompem kompem harga tinggi.
Disebabkan aku tak ada capital, aku belajar ilmu sublet. Siap pergi kelas berbayar bang. Buat sewa atas sewa, dapat makan 50-100, 10 biji rumah sebulan kenyang dah (yang buat asrama, homestay berkecuali).
Tapi belum sempat aku mula, Tuhan kurniakan aku rezeki kahwin dan rezeki mengenal erti miskin bandar. Tuhan bagi aku mengenal erti kehidupan daripada kaca mata yg aku belum pernah sarung pun sebelum ni.
Aku tak adalah kata ini keadaan rumah yang paling teruk untuk si miskin bandar macam aku, tapi rumah ni dah cukup mengajar aku erti kapitalis.
Percaya atau tak, rumah aku sewa ni harga dia kalau tak silap dekat 200k kalau tingkat bawah bang.
Agak agak kenapa harga hartanah boleh meningkat?Sebab banyaknya permintaan. Lagi lagi yang tinggal di bandar. Ramai yang nak tinggal sana. Dekat dengan tempat kerja. Tapi menjadi masalah bila sifat tamak haloba wujud dalam diri seorang pelabur kapitalis.
Nama pun kapitalis, kapasiti kapital pun tinggi. Apabila sang kapitalis sedar yang pembangunan bandar yang pesat akan bawa masuk lebih ramai penduduk, itu satu peluang. Maka dibolotlah mereka 10 biji, 1 blok rumah. Pembangunan yang asalnya bertujuan menempatkan kemasukan penduduk tadi, dah terpaksa sekadar menyewa daripada sang kapitalis.
Kesannya? Bina lah 100 juta biji rumah sekalipun, andai yang beli masih sang kapitalis, ia tak akan pernah cukup. Itu belum kira, sang gaji sederhana-mewah yang sibuk menadah borang rumah PPR dan rumah rumah kos rendah yang lain. Siap kalau boleh, nak beli 2-3 biji. Siap submit 2 loan serentak. Guna proxy saudara mara. Kalau boleh, anak yang 2-3 tahun pun nak diguna jadi proxy. Jadi jangan hairan bila kita ada skandal proxy besar macam 1MDB. Bapak borek anak rintik.
Untuk permainan pemain-pemain hartanah, jarang diorang beli rumah 1-2 juta. Baik beli rumah 100k 10-20 biji. Baru lah bulan bulan cashflow positive. Nak flip kemudian hari pun boleh. Dan ini masalah sebenar. Bila mereka yang main padang 'antarabangsa', turun main padang 'kampung', pasti yang kampung hanya mampu ternganga.
Salah ke main hartanah? Nak main, kau main lah 2-3 juta punya value. Yang itu, kau beli 100 pun aku tak kisah.
Engkau boleh cerita berapa banyak % pemilikan bumiputra atau apa. Kalau pemilikan 100% milik melayu sekalipun, tapi semua milik kau semua, apa bezanya dengan merempat. Jihad ekonomi? Ermmm please don't go there.
Ada banyak lagi jalan rezeki, punca pendapatan dan saluran pelaburan yang lebih baik untuk kesejahteraan bersama berbanding hartanah.
Andai semua manusia mampu memikirkan kebaikan bersama, dunia ini pasti cukup untuk semua. Tapi kalau semua dok fikir masa depan diri sendiri, anak cucu sendiri (nak belikan sorang rumah satu), kau ingat kau sorang ada anak cucu?
Dunia ni cukup untuk semua, tapi tidak untuk yang tamak. Andai kau terasa tamak, kau baca balik cerita pemuda dengan sebilah kapak. Kompem insaf.