-->

November 09, 2018

SUHAKAM 'Sound' NGO Islam Kaw-Kaw Isu ICERD..

Oleh : Zainul Rijal Abu Bakar
 
Pertemuan YB Menteri Agama dengan NGO Islam pada 7 Nov 2018

Atas permintaan rakan-rakan yang mahukan makluman pertemuan semalam saya nukilkan di bawah ini.

Pertemuan ini adalah permintaan beberapa NGO kepada YB Menteri setelah beliau meminta mereka yang tidak faham tentang ICERD berjumpa beliau. Harapan kami agar dapat mendengar sendiri pendirian YB Menteri dan kemudiannya bertukar pandangan.


Pertemuan ini berjaya mengumpulkan sejumlah NGO Islam, peguam persendirian, penjawat awam ahli akademik dan beberapa yang lain.

Pertemuan selepas solat isya’ ini dimulakan dengan bacaan doa, ucapan aluan KP Jakim, penerangan SUHAKAM dan ucapan YB Menteri sebelum meminta peserta menyatakan pendirian.

Ucapan wakil SUHAKAM sangat mengejutkan kerana seolah memberi amaran kepada kami dan sudah hilang hak asasi manusia untuk menyatakan pendirian kami dan seolah terus menghukum NGO Islam ingin memecah perpaduan dan tidak bertamadun. SUHAKAM mahukan Kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD.

YB Menteri pula memberi jaminan apa-apa tindakan Kerajaan tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu Islam dan Raja Raja. YB Menteri juga menafikan ada ‘timeline’ yang ditetapkan kerajaan untuk meratifikasi ICERD walaupun ada menteri yang berkata sedemikian. YB Menteri mengalu-alukan perbincangan dengan stakeholders dan pertemuan semalam adalah pertemuan besar pertama diadakan dengan NGO Islam dengan beliau.

Oleh kerana pertemuan ini adalah pertemuan tertutup saya tidak dapat mendedahkan apa yang disuarakan oleh peserta secara terperinci.

Namun secara umumnya majoriti peserta tidak bersetuju ICERD ditandatangani atau diratifikasi. Daripada 20 peserta yang berucap hanya 5 yang menyokong ICERD manakala baki 15 menolak.

YB Menteri mengambil pendirian untuk hanya mencatat tetapi tidak berdialog dengan NGO Islam yang membantah ICERD atau menyokongnya.

Rumusannya ialah pertemuan malam tadi adalah input satu hala kepada YB Menteri sahaja tanpa mendengar pandangan YB Menteri sendiri seperti dilapor media. YB Menteri pula berjanji akan membawa suara kami ke pihak atasan.

Kami tidak dapat berinteraksi secara dua hala dengan YB Menteri.

Walau bagaimanapun secara umumnya kesemua hadirin bersetuju apapun tindakan tidak boleh menghakis hak orang Melayu, kedudukan istimewa Islam dan Raja Raja Melayu.

Walau apapun ini permulaan yang baik NGO Islam diberi ruang untuk memberi pandangan. NGO Islam alu alukan pertemuan sebegini pada masa akan datang. Terima kaseh kerana memberi peluang ini dan iniasiatif ini boleh dipertingkat dari masa ke semasa.