-->

April 21, 2019

Bebaskan Pembunuh Amah Indonesia, NGO Mahu Tommy Thomas Beri Penjelasan.

Kumpulan hak asasi wanita hari ini membantah keputusan pendakwaraya menggugurkan kes bunuh terhadap majikan yang didakwa mendera pembantu rumah warga Indonesia.
 

 
Adelina Jerima Sau, 21, meninggal dunia kerana kegagalan pelbagai organ selepas didakwa didera majikannya di sebuah rumah di Bukit Mertajam tahun lepas.

Majikan itu, Ambika MA Shan, 61, terlepas dari hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi dilapor membebaskan dia daripada tuduhan bunuh hari ini selepas timbalan pendakwaraya minta dia dilepaskan tanpa dibebaskan.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata keputusan mahkamah itu adalah mengejutkan dan Jabatan Peguam Negara mesti jawab mengapa tiada keadilan untuk Adelina, walaupun terdapat bukti jelas.



“Beliau seorang wanita yang dipaksa bekerja selama 2 tahun tanpa gaji. Tubuh wanita itu diganasi. Kematiannya bermakna sesuatu.

“Mengapa mahkamah kita menghampakannya? Mengapa kerajaan menghampakannya? Mana keadilan untuk Adelina?”
katanya dalam kenyataan hari ini.

Glorene berkata ketika kerajaan melancarkan perang terhadap penyeludupan manusia dan buruh paksa, menggugurkan kes itu menunjukkan tiada keadilan untuk mangsa seperti Adelina, yang didakwa didera di tempat kerja.

“Tenaganita sedih dengan laporan ini. Kami tidak dapat bayangkan kesedihan keluarga Adelina,”
katanya.

Keadaan Adelina mula dikesan oleh seorang jiran. Jiran itu kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada seorang wartawan di Facebook. Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim kemudian menghantar pasukannya untuk menyiasat.

Adelina ditemui dalam keadaan tangan dan kaki bernanah dan tidak boleh berjalan. Luka-lukanya nampak seperti tidak sembuh.

Majikannya membawa dia ke Hospital Bukit Mertajam atas gesaan pasukan Sim.

Dia meninggal dunia selepas semalaman di hospital. Kes Adelina juga menarik perhatian media Indonesia.

Tenaganita menyifatkan kejadian itu sebagai “kemelesetan yang meluas dan berakar umbi” dalam masyarakat tentang layanan terhadap pekerja asing.

Terdahulu, Konsul Jeneral Indonesia di Pulau Pinang Iwanshah Wibisono, yang menghadiri prosiding mahkamah itu berkata, keluarga Adelina menerima gaji tertunggak sebanyak RM69,300 daripada bekas majikan.


Sumber : Free Malaysia Today