-->

Mei 04, 2019

Main HP, Tak Bagi Signal Punca Chef Tampar Pemandu Wanita - Isteri Nafikan Suami Ada Rekod Jenayah..

"Aku terima dengan redha, mungkin itu ujian dari Allah S.W.T. Yang salah tetap salah," demikian luah Freeda Faridah atau nama sebenar Faridah Mohd Yatim, 38, isteri kepada suspek yang menampar dan menumbuk muka pemandu Honda Civic yang didakwa memandu secara berbahaya dan tidak memberi signal ketika membelok.

Menurut Faridah, kejadian itu mungkin satu pengajaran buat suaminya agar kurangkan sifat panas baran itu. 


Walaupun dalam dia sedar suaminya bersalah, Freeda tetap sentiasa berada di belakang suaminya.

"Jalan terbaik tawakallah kalau itulah jalan hidup kita, bonda redha. Walaubagaimanapun, bonda sentiasa di belakang dady, dunia dan akhir.

"Biarlah apa orang nak kata, Allah itu ada. Maaf kalau ada yang marah.

"Bonda sangat-sangat bersyukur dady sihat tubuh badan dari kaku di tepi jalan. Lagi bonda tak sanggup nak menghadapinya dengan anak. Semoga dengan terjadinya begini buat pengajaran untuk dady kurangkan sifat panas baran itu,"
katanya.

Tambah Faridah lagi, suaminya seorang penyayang dan sangat menyayang dia dan anaknya.

Mengulas mengenai kejadian Rabu lalu, Faridah yang mengetahui cerita sebenar tampil memberi penjelasan.

"Sebenarnya video yang tular itu hanya separuh sahaja. Suami saya dan rakan-rakannya kata mereka sudah mengejar wanita itu dari satu selekoh sebelum dia berhenti.

"Wanita itu dikatakan telah menukar lorong tanpa beri isyarat menyebabkan suami hampir terbabas,"
katanya.

Faridah berkata, suaminya turut mengaku telah menghentak topi keledarnya di atas kereta wanita itu kerana terlalu marah.

"Wanita itu tak berhenti atau cuba meminta maaf. Apabila suami saya kejar dan dia berhenti, dia menjawab dengan biadab.

"Suami saya memang panggil wanita itu bodoh kerana memandu secara berbahaya dan boleh membahayakan nyawanya dan wanita itu membalas, "Kaulah bodoh, kaulah gila', mungkin itu sebabnya suami saya 'naik angin'.

"Malah wanita itu sendiri cakap, "Aku angkat la telefon sebab ada orang call" selepas suami saya marah dia guna telefon.

"Saya akui dia memang baran tetapi dia seorang suami dan bapa yang penyayang. Saya memang ada beritahu dia, apa yang dia buat itu salah dan dia sendiri mengaku salah,"
katanya. 



Dalam pada itu, Faridah menafikan suaminya memiliki lima rekod jenayah lampau dan rekod itu sebenarnya milik pemilik lama motosikal yang ditunggang suaminya.

"Saya jelaskan di sini bahawa polis sendiri sudah mengesahkan ia adalah rekod pemilik lama motosikal suami. Suami saya tidak ada sebarang rekod jenayah.

"Saya sedar pun suami saya mengamuk kerana sudah hilang sabar dengan karenah pemandu yang suka main telefon. Dia sudah beberapa kali terjatuh kerana sikap pemandu seperti itu,"
jelasnya lagi. - 4 Mei 2019.