-->

Mei 04, 2019

Ugut Nak Pukul MAZA Dan Zamri Vinoth, Polis Tahan 2 Lelaki India.

LELAKI yang mengugut untuk memukul Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook kelmarin ditahan di rumahnya semalam.
 

 
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd berkata, suspek berusia 36 tahun yang juga kerani ditahan di Gelugor, Pulau Pinang, 2 pagi.

“Kita menahannya bagi membantu siasatan berhubung ugutan pukul ke atas Mohd Asri di Facebook, kelmarin.

“Pihak polis akan mendapatkan perintah penahanan reman di mahkamah hari ini dan sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,”
katanya kepada media.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan Mohd Asri membuat laporan polis berhubung ancaman pukul yang diterimanya di Facebook pada 6 petang kelmarin.

Suspek yang menggunakan nama ‘Sandev Sandev’ itu mengugut untuk memukul Mohd Asri sehingga parah selain memberikan nombor telefonnya kepada Mohd Asri bagi memudahkan lelaki berkenaan bertemunya.

Noor Mushar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

 
Dalam perkembangan berkaitan, seorang individu yang mengugut untuk memukul Ketua Pegawai Eksekutif One Centre Malaysia negeri, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu melalui panggilan telefon serta laman Facebooknya ditahan polis di Brickfields, Kuala Lumpur malam tadi.

Penahanan lelaki yang dikenali sebagai Shankar Ganesh Siridharan itu dilakukan tidak lama selepas Muhammad Zamri membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, semalam.

Muhammad Zamri yang dimaklumkan mengenai penahanan lelaki tersebut oleh polis tengah hari ini berkata, individu berkenaan turut menghasut orang lain supaya bertindak sama dengan memberi nombor telefonnya.

Katanya, selain mengherdik dengan kata-kata kesat, lelaki berkenaan yang juga bekas penyampai radio di sebuah stesen swasta juga mengugut untuk memecahkan muka beliau.

“Ketika saya berada di Kangar semalam, saya telah melihat satu hantaran video daripada lelaki tersebut di laman Facebooknya yang memuat naik rakaman telefon bersama saya yang mengandungi ugutan.

“Melalui rakaman itu juga, dia (suspek) menyebarkan nombor telefon saya agar orang lain menghubungi dan menganggu serta mengugut saya,”
katanya, memetik laporan Utusan Online.
 

Muhammad Zamri juga berkata, dia membuat laporan polis selepas bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga. - 4 Mei 2019.