-->

Oktober 12, 2019

Doktor Puji #Belanjawan2020 Beri Vaksin Pneumokokkal Secara Percuma.

Oleh : Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

Tadi saya dengar Belanjawan 2020. Peruntukan untuk kesihatan amat positif. Perkara yang paling menarik minat saya adalah peruntukan vaksin pneumokokkal. 



Vaksin pneumokokal ni mahal tau! Sekitar RM180-250 (ikut jenis). Kerajaan nak beri percuma/subsidi untuk anak-anak kita mulai tahun 2020. Alhamdulillah!


Penyakit pneumokokal adalah jangkitan yang disebabkan oleh bakteria yang dipanggil Streptococcus pneumoniae. Di Malaysia, penyakit pneumokokal adalah lazim.

Jangkitan pneumokokal lazimnya berlaku pada bayi, kanak-kanak, warga emas (melebihi 65 tahun) serta orang yang mempunyai penyakit kronik. Secara ringkas, orang yang imuniti rendah.

Kebanyakan jangkitan ini adalah serius dan boleh menyebabkan kemasukan ke hospital, hilang upaya secara kekal (pekak, kerosakan otak, atau kehilangan tangan atau kaki) atau kematian.

Saya rasa, peruntukan ini memberi akses kepada satu bentuk pencegahan penyakit yang dulu hanya mampu dibiaya oleh orang berkemampuan. Tahun depan, lebih ramai dapat dilindungi.

RM60 juta kedengaran seperti perbelanjaan yang besar, namun ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan, dan mungkin lebih menjimatkan berbanding menanggung kos rawatan jangkitan pneumokokal.

Mencegah lebih baik daripada merawat.