-->

November 12, 2019

Betul Kah Paru-Paru Bocor Kerana Vape Ataupun Kerana Tak Tahu Vape Dengan Betul Soal Pro Vapers..

SOSIAL MEDIA | Seorang netizen yang dikenali sebagai Pozan Sal menerima kecaman pro vapers kerana dianggap menyebarkan cerita kurang tepat mengenai punca penyakitnya.


Jumaat lepas Pozan berkongsikan satu status mengenai rawatan yang diterimanya di Hospital Sungai Bakap.


Menurut Pozan dia batuk berdarah dan doktor mengatakan ia berpunca dari vaping.

"Oleh kerana menjadi seorang vapers kental, harini aku dah terima habuan. Semalam paru-paru ketat. Tadi pagi batuk-batuk keluaq darah berlambak. Cek-cek soalan no 1 doktor tanya adik merokok berapa lama dah?? 

Kita jawap laa dah berhenti dekat 6 bulan.. Kena vape jaa.. Dia kata vape lagi teruk adik.. Jadi laguni aku pon jadi percaya laa.. Kena sakit dulu baru nak percaya.. Habuan laa pozan 😷😷," katanya dalam kenyataan itu.

Pro vapers bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan oleh Pozan itu.

Mereka kemudiannya meminta Pozan untuk bersikap lebih jujur dengan menunjukkan rekod diagnosis, jenis mod, pod atau vape yang digunakan, jenis cecair bagi membuktikan dakwaannya.


Misalnya, seorang pengomen Syakir Arifin mengatakan seseorang yang mahu berhenti hisap dan bertukar kepada vape perlu memahami secara jelas bukan sahaja dari segi penggunaan malahan amalan vaping juga.

Hal ini pernah diutarakan oleh selebriti Amir Hasan yang berkata seseorang yang mahu menghisap vape, sebagai alternatif kepada rokok perlulah terlebih dahulu mengetahui selok belok mengenai vaping. 

Ini termasuklah jenis alatan yang digunakan, jangka hayat bateri, kandungan cecair dan beberapa perkara lain yang mungkin dipandang remeh oleh golongan perokok tegar. 




Sesetengah cecair yang dijual di pasaran berkemungkinan menyalahi undang-undang negara dan disebabkan faktor inilah, NGO dan Komuniti Vapers Malaysia mahu kerajaan menyegerakan regulasi vape di Malaysia.

Antara lain, peniaga vape yang mengikut peraturan tidak akan dikacau dan disalahtanggap oleh masyarakat. 

Ini juga bagi menyekat tindakan individu yang mungkin mahukan 'kelainan luar biasa' dengan mencipta cecair sehingga merosakkan industri vape.

Selain itu, regulasi ini penting bagi memastikan hanya perokok tegar sahaja yang dibenarkan vape dan bukannya sebagai trend.  

Sebelum ini, dalam program membincangkan samada vape jalan selamat untuk berhenti rokok ataupun tidak di Persidangan Vape Antarabangsa, MIECC Seri Kembangan, seorang pakar kimia dari Greece, Dr. Konstantinos Paulus mengesahkan golongan perokok tegar di negaranya berkurangan sehingga 32% disebabkan vape.


Sesetengahnya memilih vape kerana beranggapan vape adalah lebih selamat ataupun sekurang-kurangnya kurang mudarat berbanding rokok.

Sesetengahnya pula menjadikan vape sebagai salah satu kaedah bagi memberhentikan amalan merokok.

Panelis lain, Pensyarah Jabatan Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh mengakui meskipun vape boleh menjadi alternatif untuk menghentikan tabiat merokok, tetapi negara ini tiada undang-undang ketat bagi membendung amalan vape dikalangan anak muda.

“Bagi saya, vape ada potensi untuk hentikan golongan perokok. Namun, perlu ada undang-undang ketat. Benar (Malaysia), ada peraturan tapi tidak ketat.

“Cadang usia 20 tahun ke atas baru boleh beli vape. Ini penting bagi mengelakkan remaja atau pelajar sekolah membeli vape,”
katanya.


Jelasnya lanjut, pakar perubatan bimbang penjualan vape tanpa kawalan akan menyebabkan bukan perokok terutamanya remaja mula merokok.

“Jika vape dijadikan medium atau alternatif bagi perokok untuk berhenti merokok, saya yakin dan nampak potensinya namun perlukan kawalan,” katanya lagi.

Dr. Sharifa juga mengesahkan bilangan perokok di negara ini berkurangan namun tidak pasti samada vape menjadi faktor utama kepada pengurangan tersebut kerana tiada kajian khusus dilakukan bagi mengenalpasti puncanya.


Isu mengenai vape menjadi sensasi sejak kebelakangan ini memandangkan terdapat ura-ura Malaysia mungkin meniru jejak langkah beberapa buah negara, termasuklah jirannya Singapura dan Thailand bagi mengharamkan vape.

Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan bagi membuat kajian mengenai vape di Malaysia dan JK itu akan membentangkan kajiannya pada tahun hadapan. 

Hasil dapatan itu kemudiannya akan menjadi penanda aras samada Malaysia mengharamkan vape ataupun membenarkan penjualan vape dengan regulasi yang lebih ketat berbanding rokok memandangkan remaja di Malaysia tertarik kepada vape sebagai satu amalan gaya hidup yang trending berbanding perokok tegar yang melihatnya sebagai satu alternatif untuk menghentikan ketagihan rokok. - 12 November 2019.