-->

November 20, 2019

Kenapa Perlunya Majlis Konvokesyen Untuk Sekolah?

SOSMED | Semakin menjadi-jadi budaya mengadakan majlis konvokesyen secara gilang gemilangan samada di peringkat pra sekolah mahupun sekolah menengah sehingga membebankan ibu bapa yang kurang berkemampuan.


Perkara yang dibincangkan di Facebook Noridawati mendapat respon ramai pihak dan rata-rata bersetuju dengan pandangan wanita itu.




"Sebab itu saya kurang setuju majlis konvokesyen yang sepatutnya hanya majlis penyampaian sijil tamat tadika/prasekolah/UPSR/SPM/STPM menjadi satu acara gilang-gemilang seperti majlis konvokesyen lepasan Kolej mahupun Universiti. 


Sepatutnya warga pendidik harus tahu di mana landasan peringkat sepatutnya ianya diraikan. Meraikan pelajar itu tidak salah tetapi biarlah ianya diatas kemampuan dan selayaknya satu-satu peringkat sijil itu dianugerahkan atau diraikan. 

Sedangkan kita yang berada di Universiti pun, ada mahasiswa tak mampu nak hadir majlis konvokesyen yang sepatutnya diraikan atau dihadiahkan buat diri selepas berpenat lelah berusaha untuk segulung diploma mahupun ijazah tetapi atas faktor kewangan tetap juga tidak dapat hadir. 

Faktor kewangan sangat benar dan jelas kawan-kawan. Saya berbicara berdasarkan pengalaman mata kepala saya sendiri menjadi saksi rakan sepengajian saya tidak hadir ke majlis konvokesyen ijazahnya kerana pada pendapat dia, duit untuk hadir ke majlis konvokesyen itu lebih diperlukan untuk membeli keperluan anak-anak dan isteri. 

Saya juga menjadi saksi bagaimana rakan-rakan sekuliah saya mengumpul wang tabung kami bersama untuk memastikan rakan kami hadir ke majlis konvokesyen bersejarah beliau. Saya juga menjadi saksi bagaimana kawan sekuliah saya hadir ke majlis konvokesyen tanpa kelibat ibubapa dan keluarganya atas faktor KEWANGAN!

Saya tambah lagi hujahan saya dengan meminjam kata saudara Mehmed Luthfi kerana ayat diatas ini ditulis setelah saya meninggalkan komen diruangan status senior saya yang membincangkan isu konvo dikalangan pelajar sekolah ''Bagi warga kampus. 


Konvokesyen itu penting sebagai penghargaan dan kenangan setelah penat belajar. Tapi yang lebih penting arah tuju pekerjaan selepas konvokesyen itu berlaku. 

Macam orang kahwin. Kenduri kahwin penting juga tapi jauh lebih penting kehidupan berumahtangga selepas itu. Kalau konvokesyen sekolah. Selepas itu apa? Sekolah juga. Tiada beza fasa kehidupannya.''

Saya harap, semua pihak terlibat membuka mata, telinga dan berlapang dada dengan isu ini. Fikirkan dan pertimbangkanlah. Letaklah sesuatu itu ditempat yang selayaknya,"
tulis Noridawati Binti Awang.


Perbincangan mengenai majlis konvokesyen mula menjadi sensasi sejak tiga tahun lepas apabila salah sebuah sekolah mengadakan ia di sebuah hotel dan menelan belanja yang banyak.

Hal itu kemudiannya menjadi pertikaikan netizens namun sejak itu pihak sekolah seakannya gemar mengadakan majlis konvokesyen sehingga menyusahkan ibu bapa yang kurang berkemampuan dari segi kewangan.

Tidak hanya itu sahaja, ada sekolah yang mengadakan majlis konveksyen untuk anak-anak pra sekolah.

Hal ini menimbulkan kritikan dan KPM diminta campurtangan bagi mengawal budaya yang tidak sepatutnya menular apatah lagi bagi sekolah awam. - 20 November 2019