-->

November 08, 2019

Usahawan E-Rokok Gempur Forum Sinar Harian Bincang Isu Vape..

SEMASA | Malam tadi Sinar Harian membawakan wancana VAPE : Trend atau Bahayakan Nyawa. Diskusi itu disertai oleh empat panel iaitu;

PU Hafiz - Pendakwah
Mohd Fadhli Othman - Pengerusi IkramTeens
Amir Hassan - Penyanyi
Dr. Munirah Ibrahim - Pakar Perubatan Keluarga

Antara yang menarik dalam perbincangan tersebut ialah beberapa peniaga vape turut menghadirinya bagi menyertai perbincangan ilmiah itu.

Gambar : Sinar Harian
Perbincangan berlangsung dalam suasana yang harmonis meskipun terdapat beberapa soalan panas yang ditanyakan penonton kepada Dr. Munirah.

Misalnya soalan daripada Datuk Azwan yang mewakili peniaga vape (MRECA), berkata, "Berkaitan racun atau kimia yang keluar, pernahkah doktor melihat sendiri kajian yang dijalankan oleh para profesor terutamanya sekali laporan dari Public Health England, tahun 2015, yang mengatakan bahan kimia beracun lebih banyak dikeluarkan dari rokok? Kajian yang dijalankan menerusi kaedah vaping pula menggunakan satu mesin yang mana kandungannya tidak akan dihisap oleh manusia namun disahkan tetap lebih selamat berbanding rokok," soalnya.

Dr. Munirah kemudiannya menjelaskan, kajian-kajian seumpamanya itu sebenarnya didalangi oleh mereka-mereka yang menjual e-rokok, meskipun berlatarbelakangkan bidang perubatan.

Komen itu kemudiannya ditempelak oleh beberapa netizens yang beranggapan jawapan itu terlalu dangkal dan memerli adakah desakan mengharamkan vape pula berpaksikan kepada kutipan cukai yang berkurangan berikutan jualan rokok halal kini menghadapi saingan sengit dari rokok seludup dan vape.

Panelis Fadhli pula menjelaskan, vape untuk golongan perokok bukan menjadi masalah tetapi terdapat segilintir remaja yang menghisap vape sebagai trend dan ini adalah musibah.

Berdasarkan situasi semasa di Malaysia terdapat dua jenis perkembangan mengenai vape iaitu;

1. Perokok yang mahu berjimat dan berhenti merokok memilih vape. Mereka mahu mengamalkan hidup sihat dengan menjadikan vape sebagai kaedah untuk mengurangkan kebergantungan kepada rokok sekaligus meninggalkan rokok dan vape secara beransur-ansur.

2. Remaja yang suka-suka vape kerana trend dan terikut-ikut. Terdapat juga wanita-wanita bertudung yang merosakkan industri vape dengan mempromosikan vape di sosial media sekaligus masyarakat beranggapan vape ialah satu perkara negatif dan jahat.

Menurut panelis Amir, seseorang yang mahu vaping perlu pandai menggunakan alat seperti MOD dan POD bagi mencegah perkara tidak elok seperti letupan yang berlaku di Sibu suatu ketika dahulu.

Berdasarkan pengalamannya yang pernah menjual vape suatu ketika dahulu, ramai yang berjaya berhenti merokok melalui vape.

Amir juga menjelaskan, kebanyakan pembeli yang berusia 25 tahun hingga 35 tahun yang membeli mod ataupun pod darinya nekad mahu berhenti merokok kerana itu mereka cuba beralih kepada vape sebagai alternatif. Ketika membeli, perokok-perokok tegar ini akan lebih bertanyakan mengenai keberkesanan produk.

Manakala vapers muda, ataupun remaja, mereka lebih bertanyakan mengenai harga dan jenama. 

Hal inilah yang dibimbangi Presiden IkramTeens, Mohd Fadhli, yang mengatakan boleh terjadinya dari vape mereka akan menghisap rokok dan seterusnya dadah jika tidak dibendung.

Peniaga vape, Bruce yang mewakili Mreca pula menjelaskan, usahawan vape seluruh Malaysia telah mengadakan kempen 'no vape for kids'. Kempen ini telah dijalankan sejak tiga bulan lepas dan masih dijalankan sehingga ke hari ini. Ia adalah satu kempen kesedaran kepada vapers, dan juga peniaga agar jangan sesekali menghasut dan mengheret anak-anak muda yang tidak merokok untuk mencuba-cuba vape. Kempen ini dilakukan atas nama tanggungjawab mendidik masyarakat bahawa vape ini adalah alternatif perokok tegar dan bukannya satu gaya hidup mahupun trend.

Selain itu, Bruce juga menjelaskan kepada Dr. Munirah kematian 13 vapers di Amerika baru-baru ini adalah disebabkan penyalahgunaan cecair vape, dimana dadah jenis THC dan vitamin E jenis asetat dimasukkan ke dalam cecair vape yang mengundang risiko kematian.

Vape dengan mengikut peraturan dan dalam kandungan yang dibenarkan sama sekali tidak akan menyebabkan kematian, jelasnya lanjut. 

Dr. Munirah nampaknya menerima penjelasan itu dengan hati yang terbuka.

Hasil dari perbincangan itu bolehlah dirumuskan kepada beberapa perkara iaitu;

1. Vaping adalah alternatif yang lebih baik dari merokok dari segi kesihatan.

2. Risiko vaping adalah bergantung kepada jenis cecair. Risiko berbeza antara cecair yang mempunyai nikotin dan tiada nikotin. Risiko juga berbeza antara nikotin berkadar rendah dan berkadar tinggi.

3. Anak-anak muda perlulah dilarang bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah menjelaskan kepada anak-anak tujuan ibu atau bapa vaping adalah untuk menghentikan ketagihan merokok. Bukannya kerana trend dan gaya hidup. Ibu bapa juga jangan sesekali menghadiahkan mod dan pod kepada anak-anak dan perlulah memantau anak masing-masing terutamanya jika memberikan mereka wang, adakah mereka membeli mod dan pod secara online.

4. Oleh kerana kajian menunjukkan lebih 300,000 anak muda terlibat vape, maka perlu ada satu undang-undang yang tegas bagi mengawalnya tanpa menjejaskan alternatif bagi perokok tegar.  

Sebagai rekod, KKM telah membentuk satu Jawatankuasa Khas bagi membincangkan masalah dan isu berkaitan vape di Malaysia. AJK itu akan berperanan untuk menjalankan kajian dan seterusnya akan memutuskan samada VAPE perlu disekat ataupun dibenarkan jual dengan regulasi. - 8 November 2019.