KUALA LUMPUR 6 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin mendakwa tweetnya berkaitan penjenayah bunuh polis telah 'dipintal' secara jahat oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, tindakan itu adalah untuk memperlihatkan beliau sebagai musuh kepada pihak polis sekali gus seorang yang tidak menghormati sensitiviti keluarga mangsa.
"Sebagai seorang ADUN dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, adalah tanggungjawab saya untuk bekerjasama dengan pihak polis demi kesejahteraan para penduduk Seberang Jaya dan Pulau Pinang.
"Saya tidak akan sesekali memperlekeh peranan pihak polis dan pihak berkuasa lainnya yang sentiasa bekerjasama dengan saya demi keselamatan penduduk Seberang Jaya dan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin, Dr. Afif menerusi laman sosial Twitter miliknya menyatakan: "Penjenayah bunuh polis itu tidak menghairankan, tetapi bila polis yang sepatutnya menegakkan undang-undang membunuh tahanan, itu masalah."
Kenyataan itu dikeluarkan selepas seorang anggota polis, Koperal Raja Aizam Raja Mohd., 53, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas cedera parah ditikam di kepala oleh penjenayah warga asing semasa melakukan rondaan di sebuah lorong di Taman Sentosa, Klang awal pagi kelmarin.
Mengulas lanjut, Dr. Afif menambah, tuduhan tersebut merupakan permainan politik jijik yang sebenarnya cuba menjadikan keluarga Allahyarham sebagai alat politik untuk menyerang beliau.
Katanya, tweet beliau dengan jelas tidak merujuk kepada sesiapa apatah lagi kepada mangsa yang terkorban ketika mempertahankan negara.
Menurutnya, beliau tidak akan berganjak daripada prinsip bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta pihak berkuasa yang lain mesti memberi perhatian yang sewajarnya kepada kes-kes kematian dalam tahanan.
"Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang terkorban ketika menjalankan tugas demi menjaga keselamatan rakyat. Saya sekeluarga memanjatkan doa kepada Allah semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang soleh dan semoga Allahyarham mendapat ganjaran syahid.
Katanya, keberanian Allahyarham dan mereka yang lain yang sanggup mengorbankan diri demi keselamatan rakyat, wajib menjadi contoh kepada para para petugas keselamatan di seluruh negara.
|