-->

Mac 06, 2014

Berzina selepas digantung tak bertali oleh suami

Gambar hiasan

SARINA masih memikirkan apa yang patut dilakukan selepas ini. Setelah selesai mendaftarkan persekolahan anak kedua dan ketiganya itu, dia termenung panjang. Sampai bila dia harus begini? Nasibnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Tambah merunsingkan, bagaimana suatu hari nanti, bila anak-anaknya bertanya, apa status diri mereka terutama dua orang anak perempuannya itu?

Panjang lamunan Sarina. Dia tahu, dia telah melakukan kesilapan yang amat besar dalam hidupnya. Untuk berpatah balik, mampukah dia melakukannya? Hingga kini, dia masih bergantung hidup dengan Sazali sejak 15 tahun yang lalu. Dia buntu. Fikirannya dibelenggu rasa resah akibat kesilapan yang diciptanya sendiri.

Dia tidak mahu menyalahkan suaminya yang meninggalkannya tanpa khabar berita. Dia digantung tidak bertali. Kehilangan suaminya sejak keluar dari rumah sehingga kini, membuatkan Salina hilang arah. Mujur Sazali, pekerja kontrak yang berjiran dengannya sedia membantu.

Sehingga akhirnya Sazali berpindah rumah. Duduk sebumbung dan tidur sebantal tanpa ikatan yang sah. Anak-anaknya juga memanggilnya ayah kerana lelaki itulah yang mengambil berat perihal keperluan anak-anak tersebut sejak ditinggalkan oleh si ayah yang sebenar.

Anak sulungnya, Ikmal mati-matian percaya Sazali itulah ayahnya. Ikmal ditinggalkan ketika usianya setahun. Dalam tempoh itulah Sarina menanggung derita. Sazali muncul dalam hidup Sarina setelah kasihan melihat Sarina dan anak-anaknya sering keputusan makanan. Dan sejak hari itu, Sazalilah tempat Sarina mencurah resah di hati.

Namun Sarina dan Sazali juga manusia biasa. Daripada perhubungan yang tercetus hasil perasaan simpati, kini lagak mereka ibarat suami isteri. Kini termasuk Ikmal, anak yang sah daripada suami Sarina yang sah, Ikmal mempunyai empat lagi 'adik-adiknya' atas hubungan terlarang ibunya - dua lelaki dan dua perempuan. Bagi Ikmal itulah adik-beradiknya tanpa dia mengetahui cerita di sebalik itu.

Tapi entah kenapa, pagi itu Sarina merasakan terlalu banyak dosa yang telah dia lakukan.

Dia mahu bertaubat. Dia tidak mahu lagi hidup bergelumang dosa. Dia tahu, dia telah mengkhianati ikatan perkahwinannya yang sah bersama suaminya sekalipun suaminya itu menghilangkan diri tanpa berita.

Sarina tahu, dia masih berstatus isteri orang. Dia tidak pernah meminta fasakh di mahkamah syariah. Kerana itu jugalah, anak-anak luar nikahnya berbin dan berbintikan suaminya yang sah.

Hati Sarina benar-benar runsing. Ada kala Sarina merasakan belum bersedia untuk berpisah dengan Sazali kerana di situlah punca pendapatannya. Tetapi dalam masa yang sama Sarina diburu rasa kesal dek dosa-dosa yang dilakukan selama ini.

"Jalan mana yang harus aku pilih," keluh Sarina dalam diam. Tanpa disedari air matanya gugur satu persatu.

"Ya Allah, terampunkah segala dosa-dosaku," soalan yang terpacul dari lubuk hati Sarina.